Baru-baru ini, satu kejadian melibatkan anak buang air di dalam sebuah premis kedai dipercayai di Selangor, mencuri perhatian ramai hingga mengundang rasa kurang senang warga maya.
Menerusi laporan media hiburan, terdapat satu hantaran tular di Threads berkenaan luahan rasa kecewa seorang individu yang dipercayai staf kedai yang mendakwa ibu bapa kepada seorang kanak-kanak membiarkan sahaja anak mereka membuang air besar dan kecil di dalam premis tanpa mengambil tanggungjawab membersihkannya.
TULAR ANAK BUANG AIR BESAR DALAM PREMIS KEDAI

Gambar dikongsikan oleh staf kedai tersebut.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi turut memperlihatkan seorang kanak-kanak lelaki menarik seluarnya sebelum membuang air di tengah laluan kedai, sambil diperhatikan beberapa pengunjung lain.
Staf dakwa ibu bapa terus keluar tanpa minta maaf
Apa yang lebih mengecewakan pekerja terbabit bukan sekadar tindakan anak buang air dalam kedai, tetapi sikap ibu bapa yang didakwa terus meninggalkan premis tanpa memaklumkan kepada staf atau meminta maaf.
“Hari yang tak bertuah. Seorang kanak-kanak telah membuang air besar dan kecil di dalam premis. Kepada parents tersebut terima kasih sangatlah kerana tidak bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku.
“Lepas tu keluar kedai macam tu je, tak ada cakap sorry sikit pun dekat staf dan nak cuci najis anak dia,” dakwanya menerusi hantaran tersebut.
Lebih terkilan, staf berkenaan mendakwa keadaan itu hanya disedari selepas pelanggan lain memaklumkan tentang najis yang berada di lantai.
“Staf juga nak kena cuci najis anak anda. Kami sangat terkilan dengan cara parents tersebut yang tidak bertanggungjawab!” kata pengguna Threads itu.
Staf berkenaan di ruangan balas turut mendakwa ibu bapa itu sempat berjalan-jalan di dalam kedai selepas anaknya membuang.
Namun satu kata-kata mohon maaf langsung tidak keluar dari mulut ibu bapa kanak-kanak itu berhubung insiden terbabit, meskipun ada pekerja berhampiran.

Tangkap layar dari video CCTV tapi telah dijana semula dengan AI (kemungkinan visual berbeza sedikit daripada video asal).
Ramai netizen berang, ada tampil beri pandangan
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya turut meluahkan rasa simpati terhadap pekerja kedai yang terpaksa berdepan situasi tidak dijangka itu.
Walaupun ada yang berpendapat kanak-kanak terbabit mungkin mempunyai masalah kesihatan atau keperluan khas, ramai menegaskan ia bukan alasan untuk ibu bapa melepaskan tanggungjawab.
“Walaupun budak tu tak normal sekali pun, tidak sepatutnya mak bapak lepas tangan,” kata seorang pengguna media sosial.
Bagi sesetengah netizen, perkara paling mengecewakan bukan insiden tersebut semata-mata, tetapi kegagalan ibu bapa menunjukkan rasa tanggungjawab dan empati terhadap staf yang akhirnya perlu membersihkan kekotoran itu.
Sumber: BuzzKini
FT Image: BuzzKini
