Diabetes bukan sahaja memberi kesan kepada paras gula dalam darah, tetapi juga boleh mengakibatkan lima bahagian tubuh badan rasa gatal yang berpanjangan.
Kesedaran tentang tanda-tanda ini penting agar penghidap diabetes dapat bertindak awal dan mengurangkan komplikasi. Berikut adalah lima bahagian badan yang sering mengalami gatal akibat diabetes.
5 BAHAGIAN TUBUH BADAN YANG GATAL AKIBAT DIABETES

Freepik
1. Betis dan tulang kering
Bahagian betis dan tulang kering biasanya menjadi kawasan paling terkesan. Aliran darah ke kaki cenderung lebih perlahan dan apabila paras gula tinggi, kulit di kawasan ini menjadi kering, tegang, bersisik halus serta mudah gatal.
2. Tapak kaki & celah jari
Keadaan ini berlaku kerana saraf di hujung kaki mula rosak, dikenali sebagai neuropati. Selain itu, kulat air mudah membiak di celah jari kaki kerana kulat menyukai gula yang berlebihan dalam peluh.
3. Celah lipatan kulit (Ketiak, Bawah Dada, dan Peha)
Kawasan lipatan kulit seperti ketiak, bawah dada dan peha biasanya gelap, lembap serta suam. Apabila paras gula darah tinggi, peluh membawa sisa gula keluar melalui kulit, menjadikan kawasan ini persekitaran sesuai untuk jangkitan bakteria dan yis (kulat). Akibatnya, kawasan lipatan ini mudah gatal dan boleh menyebabkan ketidakselesaan.
4. Kawasan alat sulit
Gatal pada kawasan intim, terutamanya bagi wanita, sering menjadi tanda awal jangkitan yis. Yis membiak dengan cepat apabila air kencing mengandungi lebihan gula yang tidak ditapis oleh buah pinggang.
Tanda ini perlu diberi perhatian kerana ramai penghidap diabetes malu untuk mengakuinya kepada doktor.

5. Tapak tangan dan jari jemari
Sama seperti kaki, hujung tangan dan jari juga mudah terjejas. Penghidap diabetes mungkin mengalami rasa kebas, semut-semut, atau gatal berpanjangan walaupun tangan telah dibasuh berulang kali. Keadaan ini berlaku akibat kerosakan saraf dan aliran darah yang terganggu.
Apabila tubuh dipenuhi gula, sistem imun menjadi lemah. Menggaru kuat sehingga melecet boleh menyebabkan luka mudah dijangkiti dan lambat sembuh.
Sekiranya mengalami tanda-tanda gatal yang berpanjangan, penghidap disarankan segera memeriksa bacaan gula dan mendapatkan nasihat farmasi atau doktor untuk tindakan awal.
Sumber: TikTok Dwa.Review
