Majlis perkahwinan selalunya menjadi hari penuh bermakna bagi setiap pasangan yang diraikan. Namun dalam era serba moden ini, pelbagai tradisi lama mula berubah termasuk cara memberi salam kaut yang menjadi tradisi kepada pengantin.
Terbaharu, tular satu perkongsian di media sosial apabila seorang tetamu majlis perkahwinan meluahkan rasa kurang senang selepas melihat plakad dengan kod QR di atas meja tetamu, yang kononnya disediakan untuk menerima ‘sumbangan bulan madu’ buat pasangan pengantin.
Baca juga: Ramai Tak Tahu, Ini Situasi Bila Lafaz Cerai Sebenarnya TIDAK Jatuh Talak…Jangan Panik Dulu!
TREND SALAM KAUT UNTUK PENGANTIN, NETIZEN TEGUR “MACAM MENGEMIS…”

Menurut individu berkenaan, tindakan itu dianggap tidak wajar dan seolah-olah seperti meminta sedekah daripada tetamu yang hadir.
“Saya tak boleh bersangka baik. Macam mengemis pada tetamu. Selalunya ‘salam kaut’ tu untuk tuan rumah atau ibu bapa, bukan untuk anak yang baru kahwin nak pergi honeymoon,” tulisnya di media sosial.
Gambar yang dikongsikan menunjukkan satu plakad kecil bertulis “Scan sini, kasi pengantin jalan jauh sikit” beserta kod QR untuk diimbas seolah-olah menggantikan tradisi memberi duit salam kaut secara tunai.
Perkongsian tersebut segera tular dan mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang menyokong pandangan tetamu itu, namun ramai juga yang menganggap ia bukan isu besar.
“Nak bagi, bagi je. Tak nak, datang makan lepas tu balik. Tak perlu sampai nak kecam orang lain,” komen netizen.
“Sekarang semua benda orang nak viral. Kadang niat orang tu bukan pun nak paksa tetamu, cuma nak ikut trend moden,” tambah yang lain.
Penjelasan Ustaz Azhar Idrus: “Kalau niat cari untung, boleh jadi bidaah”

Mengulas isu itu, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa tindakan mengutip duit secara terbuka dalam majlis perkahwinan boleh menjadi bidaah jika niatnya untuk mencari keuntungan daripada kenduri tersebut.
“Kenduri kahwin asalnya tanda kesyukuran, bukan tempat nak kaut untung. Kalau niat berubah jadi urusan mencari pulangan, maka hilanglah nilai ibadah dan keberkatannya,” katanya.
Namun, beliau turut menegaskan bahawa menerima sumbangan secara sukarela daripada tetamu adalah harus dan termasuk dalam sunnah asalkan tidak dijadikan paksaan atau tujuan mengaut untung.
Kesimpulannya, dalam dunia moden yang semakin kreatif, penggunaan kod QR mungkin nampak praktikal dan ‘trendy. Namun begitu, niat dan adab tetap menjadi perkara utama dalam setiap urusan termasuk dalam meraikan hari bahagia. Kalau boleh, kekalkan tradisi macam orang lama, lebih manis…
Baca juga: Ramai Baca Surah Al-Waqiah, Tapi Tak Tahu Cara Amal Ayat 74 & 96 Jadi RAHSIA Anda Cepat Kaya Raya!
Sumber: Threads, Ustaz Azhar Idrus
