Euforia Bola 2026
Famili

“Teruja Ambil Kereta Baru…” 6 Sekeluarga Maut Di Sungai Petani, Polis Minta Hentikan Spekulasi & Ini Sebenarnya Berlaku

6 sekeluarga

Kegembiraan bertukar tragedi apabila 6 sekeluarga dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton X50 dan lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Ahad semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, enam mangsa termasuk seorang bayi maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan cedera parah.

Baca juga: [VIDEO] Terkini! Jaslinda Saludin Akhirnya Ditemui Selamat Di Perkampungan Orang Asli

6 SEKELUARGA MAUT, TERMASUK BAYI KEMALANGAN DI SUNGAI PETANI

6 sekeluarga

Gambar ihsan Bomba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.46 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi bersama bantuan BBP Sungai Petani.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton X50 dengan sebuah lori muatan tanah 10 tan berlanggar.

“Komander operasi melaporkan, terdapat keseluruhan tujuh mangsa dalam kereta terbabit dan enam daripadanya meninggal dunia selepas disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Seorang lagi kanak-kanak perempuan yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Pagi teruja ambil kereta baru, sempat ziarah kubur arwah bapa

Lebih memilukan, difahamkan Proton X50 yang dinaiki mangsa baru sahaja diambil pada pagi hari kejadian di sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang.

SUV itu dikatakan milik Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, yang mengambil kenderaan berkenaan sekitar jam 11 pagi sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Merbok, Kedah.

Menurut ahli keluarga, mereka sempat meluangkan masa menziarahi kubur arwah bapa mangsa sebelum tragedi berlaku.

Suasana di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar juga dilaporkan suram apabila ahli keluarga berkumpul menunggu proses bedah siasat selesai.

Lebih menyayat hati, anak saudara kepada mangsa yang maut dipercayai mengikut bapa saudaranya pada saat akhir kerana mahu menaiki kereta baharu itu.

Ibrahim Ghazali, 39, berkata anak lelakinya yang berusia tujuh tahun begitu teruja untuk mengikuti keluarga berkenaan.

“Pagi ni (semalam) mereka seronok sangat la nak ambil kereta dan sempat ambil gambar kereta baru keluar termasuk anak saya… dia nak naik kereta tu.

“Namun tak sangka semuanya berlaku sekelip mata, “ katanya.

Baca juga: “Menyesal Tak Dengar Cakap Mak…” Terjerat Minyak Pengasih Suami Orang & Disihir Madu, Adik Cerita Kisah Arwah Kakak Berakhir Tragis

6 sekeluarga

Gambar Wan Nabil Nasir: Ahli keluarga 6 sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Anggota polis, jururawat antara mangsa terkorban

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan pemandu Proton X50 itu ialah Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Turut maut ialah isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, seorang jururawat di Hospital Sungai Bakap, anak mereka Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan, ibunya Nora Mohd Husin, 55, serta adiknya Ahmad Fahim, 21.

Anak saudara mereka, Iskandar Affan Ibrahim berusia tujuh tahun turut terkorban dalam nahas itu.

Sementara itu, seorang lagi anak pasangan terbabit iaitu Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3, dilaporkan cedera parah pada bahagian muka dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Polis minta orang ramai jangan buat spekulasi

Dalam perkembangan sama, polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan tragis itu yang kini tular di media sosial.

Datuk Adzli berkata, pelbagai dakwaan tidak benar mula tersebar termasuk tuduhan bahawa pemandu lori berada di bawah pengaruh alkohol dan isu melibatkan bangsa.

“Ada orang cakap dekat saya pemandu lori itu mabuk serta menyatakan bangsa pemandu itu. Di sini saya ingin maklumkan bahawa mangsa berbangsa Melayu dan pemandu lori itu juga berbangsa Melayu jadi tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab.

“Siasatan awal juga mendapati lori itu dipandu hanya 60 kilometer sejam (km/j), tapi ada juga pihak yang kata kenderaan itu (X50) mungkin bermasalah kerana baharu sahaja dikeluarkan, kereta baharu lagi, jadi kita akan siasat semua aspek termasuk akan menghantar SUV itu ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif, bagaimanapun dia mempunyai tujuh rekod saman.

“Walaupun dia memandu dengan had kelajuan 60 km/j, mempunyai lesen memandu yang sah tetapi pemandu itu ditahan dan akan direman esok (hari ini) bagi membantu siasatan kes. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mangsa yang maut ialah:

  1. Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29.
  2. Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.
  3. Jamaliah Sannusi, 29.
  4. Nora Mohd Husin, 55.
  5. Iskandar Affan bin Ibrahim, 7.
  6. Ahmad Mikail Ahmad Syafiq, 2 bulan.

Mangsa cedera:

  1. Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3.

Baca juga: “Ingat Pakai K*ndom Dah Selamat” – Lelaki Dijangkiti Ketuat Kelamin Selepas Ke Rumah Urut, Perkahwinan 12 Tahun Musnah

Sumber: Harian Metro (1), (2), (3), (4)

FT Image: Wan Nabil Nasir

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×