Kalau sebut nama negara Luxembourg, ramai mungkin terbayang sebuah negara kecil di Eropah yang jarang muncul dalam berita dunia.
Namun siapa sangka, negara berkeluasan kecil itu sebenarnya merupakan antara negara terkaya di dunia, malah sering menduduki tangga teratas dalam senarai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita global!
Negara Luxembourg Nampak Kecil, Tapi Kuasa Ekonomi Gergasi!

Foto: freepik
Terletak di antara Belgium, Perancis dan Jerman, Luxembourg hanya seluas negeri Perlis tetapi ekonominya luar biasa kukuh. Dengan jumlah penduduk sekitar 650,000 orang, negara ini memiliki KDNK per kapita melebihi USD 130,000, menjadikannya antara yang tertinggi di dunia.
Kekayaannya bukan datang daripada sumber semula jadi, sebaliknya hasil perancangan ekonomi yang bijak dan sistem kewangan yang efisien. Luxembourg menjadi pusat kewangan antarabangsa, menempatkan ratusan bank global, dana pelaburan dan syarikat multinasional!
Selain kekayaan ekonomi, rakyat Luxembourg menikmati kualiti hidup yang amat tinggi. Kemudahan awam, sistem pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan berada pada tahap terbaik. Tambahan pula, kerajaan memberikan pengangkutan awam percuma kepada semua penduduk dan pelancong, menjadikannya negara pertama di dunia yang melaksanakan dasar ini.
Kadar jenayah juga sangat rendah, menjadikan Luxembourg antara negara paling selamat untuk didiami. Bandar-bandar kecilnya dikelilingi kehijauan, seni bina klasik dan suasana tenang, menjadikannya tempat ideal untuk hidup dan bekerja.
Tempat-Tempat Menarik Wajib Lawat di Luxembourg

Foto: freepik
1. Kota Lama Luxembourg (Old Town Luxembourg City)
Terletak di ibu negara, kawasan ini adalah jantung sejarah Luxembourg yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Jalan berbatu, bangunan zaman pertengahan dan kubu lama menjadikan kawasan ini seperti masuk ke dunia Eropah lama. Dari atas benteng Chemin de la Corniche, pengunjung boleh menikmati pemandangan menakjubkan lembah dan sungai yang mengalir di bawahnya sering digelar “balkoni paling indah di Eropah”.
2. Istana Vianden (Vianden Castle)
Terletak di utara Luxembourg, istana ini antara kubu zaman pertengahan paling cantik di Eropah. Terletak di puncak bukit dengan pemandangan dramatik Sungai Our, Vianden Castle seperti keluar dari kisah dongeng.
3. Mullerthal – “Little Switzerland”
Bagi pencinta alam, Mullerthal Region adalah destinasi wajib! Dikenali sebagai Little Switzerland of Luxembourg, kawasan ini menawarkan jejak pendakian berbatu, air terjun mini, gua semula jadi dan hutan menghijau.
4. Grund District
Terletak di bawah kota lama, Grund ialah kawasan yang lebih tenang dan romantik. Bangunan berwarna pastel di tepi sungai, kafe kecil dan suasana klasik menjadikannya tempat ideal untuk berjalan kaki atau menikmati kopi sambil melihat pemandangan kota.
5. Katedral Notre-Dame Luxembourg
Katedral ini merupakan simbol kebanggaan rakyat Luxembourg. Seni bina Gothic moden dengan ukiran halus dan tingkap kaca berwarna menjadikan ia antara gereja tercantik di Eropah. Dalamnya juga tersimpan makam keluarga diraja Grand Duchy of Luxembourg.
6. MUDAM – Musée d’Art Moderne Grand-Duc Jean
Untuk pencinta seni moden, MUDAM wajib dikunjungi. Muzium ini menampilkan karya kontemporari dari artis antarabangsa dan tempatan, dalam bangunan bergaya futuristik hasil rekaan arkitek terkenal I.M. Pei, orang sama yang mereka bentuk piramid kaca di Louvre, Paris.
7. Esch-sur-Sûre & Lake Esch-sur-Sûre
Kampung kecil di kawasan pergunungan Ardennes ini seperti poskad hidup, lengkap dengan tasik jernih, istana kecil di puncak bukit dan suasana desa yang damai. Pelancong boleh berkelah, berkayak atau sekadar menikmati ketenangan alam.

Foto: freepik
*Jadi, jom masukkan Luexembourg dalam ‘list’ percutian nanti!
Baca juga: Masuk Sahaja Dah Rasa Lain Macam, 10 Bangunan Dunia Yang Dipercayai Berhantu!
