Euforia Bola 2026
Kerjaya

Ramai Gagal ‘Survive’ Bila Kerja Di Luar Negara, Sebelum Terkena Anda Kena Tahu 5 Tips Penting Ini

bekerja di luar negara

Bekerja di luar negara adalah impian ramai orang, sama ada untuk membina kerjaya, mengumpul pengalaman antarabangsa atau mencari peluang hidup yang lebih baik.

Namun, keputusan ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru. Ia memerlukan perancangan, persiapan mental, serta kajian mendalam tentang negara yang dituju.

Baca juga: Kekurangan Bukan Penghalang, 5 Kerjaya Sesuai Untuk OKU Yang Ramai Tak Nampak

TIPS INDIVIDU BEKERJA DI LUAR NEGARA

bekerja di luar negara

Gambar hiasan AI

Berikut 5 tips penting yang boleh membantu anda membuat keputusan lebih bijak sebelum melangkah ke dunia pekerjaan antarabangsa:

1. Fikir masak-masak kenapa mahu bekerja di luar negara 

Sebelum menghantar permohonan kerja ke luar negara, tanya diri anda dahulu apa sebenarnya motivasi anda? Adakah anda mahu pengalaman baharu? Gaji yang lebih tinggi? Atau melarikan diri daripada sesuatu?

Perlu difahami bahawa bekerja di luar negara tidak sama seperti melancong. Anda memerlukan visa kerja, dokumen yang sah serta pelbagai prosedur yang mungkin rumit. Namun jika niat anda jelas dan disertai perancangan teliti, peluang ini sangat berbaloi.

2. Nilai semula kemahiran & kelayakan anda

Salah satu cabaran utama untuk bekerja di luar negara adalah persaingan global. Anda bukan sahaja bersaing dengan calon tempatan, tetapi juga dengan bakat-bakat dari seluruh dunia.

Lihat semula latar belakang pendidikan dan kemahiran anda. Adakah ia relevan dengan pasaran kerja di negara yang dituju?

Negara seperti Kanada, Australia dan Jerman misalnya, mempunyai senarai pekerjaan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan. Jika anda berada dalam bidang tersebut, peluang anda lebih cerah.

Tip: Sediakan resume dan cover letter mengikut format antarabangsa dan sesuaikan dengan budaya kerja negara tersebut. Resume yang baik boleh jadi tiket utama untuk anda menyerlah di mata majikan luar.

3. Pilih negara berdasarkan budaya & peluang kerjaya 

Jangan pilih negara hanya kerana gaji lumayan. Faktor seperti budaya kerja, suasana hidup dan nilai masyarakat juga perlu dipertimbangkan.

Buat senarai pendek beberapa negara dan lakukan kajian:

  • Bagaimana cara kerja di sana?
  • Apakah waktu kerja biasa?
  • Adakah budaya mereka lebih formal atau santai?
  • Apakah prospek pertumbuhan kerjaya?

Jika anda seseorang yang suka budaya mesra dan terbuka, mungkin negara seperti New Zealand atau Belanda lebih sesuai. Tapi jika anda lebih suka struktur kerja yang tegas dan teratur, Jepun atau Jerman mungkin lebih serasi.

Baca juga: Perhatian! 5 Persediaan Ini Boleh Selamatkan Anda Dari Malu Hari Pertama ‘Internship’, Rugi Kalau Tak Baca

4. Jika berkemampuan, lawat dulu negara sasaran

Sekiranya bajet anda mencukupi, lawat dahulu negara yang ingin anda tuju. Ia boleh menjadi peluang untuk:

  • Fahami gaya hidup masyarakat tempatan
  • Tinjau kos sara hidup
  • Berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat
  • Rasai sendiri cabaran dan peluang yang mungkin timbul

Dengan cara ini, anda tidak akan terlalu ‘terkejut budaya’ apabila mula bekerja nanti.

5. Buat keputusan dengan realistik & hati-hati 

Akhir sekali, fikirkan semula semua aspek sebelum anda menetapkan keputusan untuk berhijrah demi kerjaya. Bekerja di luar negara memang membuka banyak pintu rezeki, tetapi ia juga hadir dengan risiko dan pengorbanan.

Anda mungkin kehilangan sistem sokongan (keluarga dan rakan), perlu bermula dari bawah semula dan menghadapi kesunyian atau tekanan persekitaran baru.

Sekiranya keputusan yang diambil tersilap, kesannya mungkin bukan sahaja kepada kerjaya, tetapi juga emosi dan kesihatan mental anda.

Kesimpulan

Perjalanan untuk bekerja di luar negara bukan mudah, tetapi ia tidak mustahil. Pastikan anda membuat kajian yang mencukupi, berbincang dengan mereka yang berpengalaman dan nilai kembali kesesuaian diri anda dengan budaya serta gaya hidup negara yang ingin dituju.

Jangan ikut trend, ikut persediaan. Bila anda bersedia sepenuhnya, peluang luar negara akan jadi lebih mudah digapai.

Baca juga: Patutlah Susah Dapat Kerja, Rupanya Ramai Buat Tanda ‘Redflag’ Ini Masa Mohon Kerja, Confirm Kena Reject!

Sumber: Blog Jobstore

FT Image: AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×