Euforia Bola 2026
Didik

Ini 7 Tip Dari Cikgu Lama Untuk Guru Baharu Lapor Diri, Supaya Hari Pertama Kelas Lancar & Tak Jadi ‘Trauma’!

guru baharu

Setiap guru baharu pasti ingat hari pertama masuk kelas sebenar. Tiada lagi guru pembimbing di belakang, hanya diri sendiri di hadapan murid yang menunggu arahan. Itulah detik yang dikongsi Muhammad Saffuan di Facebook melalui tujuh tip penting buat guru baharu yang bakal lapor diri.

Katanya, hari pertama bukan tentang jadi sempurna, tapi bagaimana kita bermula. Dari kenal murid hingga bina budaya kelas, semuanya asas kepada hubungan baik. Sebelum melangkah ke dunia sebenar pendidikan, tujuh tip ini wajib dijadikan panduan.

Baca juga: Murid Perempuan Tahun 2 Jadi ‘Kapla’ Arah Rakan Terjun Bangunan, Buat Misi Berbahaya Inspirasi Roblox!

TIPS KALI PERTAMA MASUK KELAS UNTUK GURU BAHARU LAPOR DIRI

guru baharu

Gambar Muhammad Saffuan: Murid di SK Dato Sharif Hamid, Marudi Sarawak.

Saya masih ingat hari pertama saya masuk kelas sebagai guru sebenar. Murid-murid semua pandang, senyap, mereka tunggu saya bersuara. Masa itu baru terasa…“Ya Allah, inilah dunia sebenar aku sekarang.”

Kalau masa praktikum dulu ada guru pembimbing tengok dari belakang, kali ini, kitalah yang berdiri sendiri di depan papan putih, menghadap berpuluh pasang mata yang menunggu ilmu dan arahan daripada kita.

Kali ini bukan lagi praktikum.

Dan di situ, saya belajar satu perkara, hari pertama bukan cikgu nak jadi sempurna, tapi tentang bagaimana kita mula. Jadi, kalau cikgu baharu bakal masuk kelas minggu depan, ini beberapa perkara yang mungkin boleh bantu cikgu ya.

1. Semak dah belajar sampai mana

Kalau cikgu ambil alih kelas daripada guru lama, tanya dulu sampai mana murid dah belajar. Elak ajar benda sama dua kali. Boleh tanya murid, guru lama atau tengok saja buku latihan.

2. Kenal murid dan buat peta nama (rujuk gambar)

Ambil tahu siapa murid cikgu, berapa orang dalam kelas dan duduk di mana. Buat peta nama senang nak ingat dan cepat mesra. Bila cikgu panggil nama, murid rasa dihargai.

Kali ini cikgu bukan nak kenal murid untuk 3 bulan, mungkin sehingga murid tamat belajar. Saya pernah dapat 1 kelas ada 2 pasang murid kembar jenuh nak cam.

guru baharu

Gambar Muhammad Saffuan.

3. Bina hubungan dengan murid

Hari pertama jangan terus marah-marah, tapi tunjukkan sisi cikgu yang tegas tapi penyayang. Ingat murid kena hormat cikgu sebagai “guru”.

Bagaimana cara nak nampak cikgu sebagai seorang yang penyayang? Cikgu boleh soal murid seperti berikut:

  • awak semua dah solat?
  • awak apa khabar?
  • dah sarapan ke belum?
  • awak semua sihat?
  • bawa bekal apa hari ini?

Percaya lah cikgu, dari soalan seperti ini, cikgu akan tahu ada murid yang berlapar datang ke sekolah, ada yang tak sihat tapi terpaksa datang sekolah, malah mungkin ada yang tidur lewat sebab jaga adik.

4. Bina ‘culture’ bilik darjah, bukan sekadar peraturan

Seperti “jangan bising” atau “angkat tangan sebelum bercakap” cuba bina budaya hormat, bantu rakan dan ucap terima kasih. Nilai kecil ini akan kekal lama dalam diri murid.

5. Belajar baca kelas

Setiap kelas lain perangai. Ada yang senyap tapi bijak, ada yang bising tapi jujur. Jangan cepat menilai murid, belajar dulu untuk kenal dulu rentak mereka. Lebih banyak mendengar dari banyak bercakap.

6. Cari guru senior sebagai mentor

Rapatlah dengan guru berpengalaman. Bukan untuk mengampu atau jadi kaki kipas, tapi untuk belajar.

Kalau berkaitan dengan murid, cikgu cakap mungkin cikgu kenal murid, tetapi guru senior ini mereka lebih tahu dari cikgu. Jadi, banyak belajar dengan mereka.

7. Jangan takut tak tahu

Kalau murid tanya soalan luar jangka, tak apa untuk cakap “cikgu semak dulu ya.” Itu tanda cikgu jujur, bukan lemah.

Anak murid pernah tanya saya, kenapa sebulan ada 31 hari, ada 30 hari, ada 29 hari dan ada 28 hari. Katanya buat saja lah 30 hari sebulan, susah dia nak hafal.

Hari pertama cikgu sebagai guru sebenar bukannya nak semua jadi perfect, tapi cikgu nak mula dengan semangat dan niat yang betul. Ingat, setiap murid yang cikgu jumpa boleh jadi sebab kenapa cikgu jatuh cinta dengan dunia pendidikan.

Baca juga: Kecoh Pelajar Universiti Balas E-mel Dengan Bahasa Kesat & Mencarut, Netizen Persoal Mana Adab?

Sumber: Muhammad Saffuan

FT Image: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×