Sebelum melangkah ke alam rumah tangga, ramai beranggapan kejujuran adalah perkara paling penting dalam hubungan. Namun bagi sesetengah wanita, menyemak latar belakang calon suami mungkin antara langkah berjaga-jaga yang tidak boleh dipandang ringan.
Menerusi satu perkongsian di Threads oleh seorang pengguna, wanita itu mendakwa hampir tertipu selepas lelaki yang dikenalinya mengaku masih bujang dan tidak pernah berkahwin.
WANITA KONGSI TIP SEMAK STATUS CALON SUAMI DI PEJABAT AGAMA

Gambar hiasan: Gemini AI
Menurut wanita tersebut, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa dirinya belum pernah berkahwin dan hanya pernah putus tunang sekali.
Namun, demi keharmonian masa depan mendorongnya untuk membuat semakan sendiri di pejabat agama menggunakan nombor kad pengenalan dan nama penuh lelaki terbabit.
Mengaku bujang, rupanya pernah kahwin dua kali?
Apa yang ditemuinya nyata mengejutkan.
“Hari ini aku pergi Pejabat Agama. Aku nak check status seorang mamat ini. Dia cakap dekat aku dia bujang, tak pernah kahwin,” kongsinya.
Menurut perkongsian itu, hasil semakan mendapati lelaki berkenaan didakwa pernah berkahwin sebanyak dua kali.
“Staff itu check and guess what? Dia pernah kawin dua kali,” kongsinya lagi.
Wanita itu mendakwa perkahwinan pertama lelaki terbabit sudah berakhir dengan perceraian, manakala status perkahwinan kedua pula masih menunjukkan beristeri.
Bagaimanapun, dia memaklumkan status itu mungkin berlaku jika perceraian belum didaftarkan secara rasmi di pejabat agama.
“Second time ini masih status beristeri. Sama ada dah cerai atau tidak tak tahu sebab kalau cerai tapi tak register cerai dekat pejabat agama, statusnya masih belum cerai,” ceritanya.
Dalam masa sama, wanita itu turut meluahkan rasa syukur kerana perkara tersebut diketahui lebih awal.
“Alhamdulillah kali ini Allah SWT tunjuk awal dekat aku. Doakan aku kuat ya,” luahnya.
Menurutnya lagi, kakitangan pejabat agama memaklumkan bahawa semakan status boleh dibuat, namun maklumat pasangan atau lokasi perkahwinan tidak boleh didedahkan.

Ramai puji tindakan wanita ini, anggap langkah bijak
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai warga maya yang rata-rata memuji tindakannya kerana mengambil langkah menyemak terlebih dahulu sebelum meneruskan hubungan ke fasa lebih serius.
Seorang pengguna, menyifatkan wanita itu sebagai individu yang bijak, “Awak gadis yang bijak.”
Seorang lagi pengguna, Suri turut meninggalkan kata-kata semangat, “Anda hebat cik, jangan ditipu oleh sang durjana. Insha Allah, diberi ilham yang baik.”
Malah, ramai juga menganggap perkongsian tersebut sebagai ilmu berguna buat wanita lain.
“Terima kasih infonya kak. Lepas ini, kalau perempuan nak kahwin dengan mana-mana lelaki boleh lah mereka cek di pejabat agama,” tulis seorang pengguna.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman sendiri pernah membuat semakan selepas timbul syak wasangka terhadap pasangan.
Perkongsian ini secara tidak langsung membuka mata ramai bahawa selain mengenali pasangan dari sudut peribadi, semakan status perkahwinan juga mungkin boleh dijadikan salah satu langkah berjaga-jaga demi mengelakkan salah faham atau situasi tidak diingini di kemudian hari.
Sumber: Threads @flowrlana
FT Image: Gemini AI
