Mulai 1 Julai 2026, caj pengeluaran wang tunai RM1 bagi transaksi antara bank di ATM dan SRM akan dimansuhkan, sekali gus membolehkan pelanggan semua bank di Malaysia mengeluarkan wang tanpa caj tambahan.
Langkah itu diumumkan menerusi kenyataan bersama oleh Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
Baca juga: Tiada Lagi Urusan Di Kaunter Bayaran Caruman Mulai Julai 2026, KWSP Umum Tutup Seluruh Malaysia
TIADA CAJ PENGELUARAN RM1 DI MESIN ATM BERMULA 1 JULAI 2026

Menerusi inisiatif tersebut, pemegang kad debit boleh mengeluarkan wang tunai di lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa dikenakan caj RM1 seperti sebelum ini, tidak kira bank pengeluar kad yang digunakan. Malah, kemudahan pengeluaran tunai percuma itu boleh dinikmati tanpa had.
Menurut kenyataan berkenaan, pengecualian caj tersebut melibatkan semua ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia.
“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.
Kerjasama yang dijalankan bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu mencerminkan usaha berterusan industri perbankan dalam memastikan perkhidmatan kewangan kekal mudah diakses, inklusif dan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Walaupun penggunaan pembayaran digital semakin meluas, industri perbankan mengakui wang tunai masih memainkan peranan penting dalam urusan harian ramai rakyat Malaysia.
Oleh itu, pemansuhan caj pengeluaran antara bank ini dilihat sebagai satu langkah proaktif untuk membantu mengurangkan beban kos harian pengguna, selain memastikan akses kepada wang tunai kekal mudah dan boleh dipercayai.
Pada masa sama, sektor perbankan turut komited memperkukuh ekosistem pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mesra pengguna seiring dengan perkembangan ekonomi digital negara.
Pendekatan ini memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, sambil memperkasakan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan.
Baca juga: Gempar Di TBS! Wanita Dipercayai Bersalin Dalam Tandas, Bayi Ditemui Dalam Beg Plastik Tong Sampah
Sumber: Berita Harian
