Euforia Bola 2026
Sihat

KKM Tegaskan Terapi ‘Tidur 6 Saat’ Tidak Disokong Sains & Boleh Bawa Maut, Jangan Cuba-Cuba!

tidur 6 saat

Ramai yang tertarik dengan teknik ‘tidur 6 saat’ kerana didakwa mampu melegakan tekanan dan memberi rasa segar, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa terapi ini sangat berbahaya dan boleh mengundang maut.

Perlu diingat, “tidur” yang dimaksudkan bukan tidur sebenar, sebaliknya melibatkan tekanan fizikal pada bahagian leher sehingga otak kekurangan oksigen sementara.

Baca juga: Sebulan Berpuasa Tapi Berat Badan Makin Naik? Ini 5 Sebab Ramai Tak Sedar & Cara Elakkan!

TERAPI ‘TIDUR 6 SAAT’ BOLEH BAWA MAUT – KKM

tidur 6 saat

Gambar: Tangkap layar video berkenaan beberapa terapi ‘tidur 6 saat’ yang giat dijalankan dan tular di media sosial.

KKM menjelaskan bahawa prosedur tersebut boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk:

  • pengsan mengejut
  • strok
  • gangguan irama jantung
  • hipoksia serebrum
  • kecederaan otak kekal
  • sawan
  • kematian

Malah, tiada asas saintifik atau bukti perubatan menyokong keberkesanan kaedah yang menggunakan tekanan pada leher sehingga menyebabkan kehilangan kesedaran secara sementara itu.

Baca juga: Air Mandian Daun Untuk Atasi Badan Tak Bermaya, Lepas Siram Terus Segar!

Apa itu terapi ‘tidur 6 saat’

Daripada video yang tular, kelihatan individu “ditidurkan” atau dipengsankan seketika apabila perawat menekan bahu, tengkuk, atau leher mereka. Mangsa kemudian tersedar dengan keadaan terkejut, menggelupur dan terpinga-pinga.

Dalam istilah perubatan, fenomena ini dikenali sebagai induced convulsive syncope, iaitu pengsan disertai pergerakan menyerupai sawan akibat gangguan bekalan oksigen ke otak secara tiba-tiba.

KKM menegaskan bahawa kaedah ini tidak diiktiraf oleh mana-mana badan perubatan atau kesihatan, termasuk kementerian dan persatuan perubatan, dan bukan amalan yang sah di bawah Akta Perubatan Tradisional & Komplementari 2016 (Akta 775).

Menurut KKM, tindakan ini adalah satu bentuk fizikal berisiko tinggi yang boleh mendatangkan kemudaratan serius kerana tiada garis panduan khusus dikawal selia.

Amalan ini melanggar prinsip non-maleficence (tidak memudaratkan pesakit) dan informed consent kerana orang ramai mudah terpedaya menganggap pengsan sementara sebagai “tidur”.

tidur 6 saat

Gambar: Tangkap layar video berkenaan beberapa terapi ‘tidur 6 saat’ yang giat dijalankan dan tular di media sosial.

Baca juga: Kutu Zaman Sekarang Makin Kalis Dengan Ubat Kimia, Ini Cara ‘Ciduk’ Kutu Paling Padu Guna Sikat Besi Je!

Kesan fizikal selepas ‘tidur 6 saat’

Walaupun ada yang mendakwa tubuh terasa segar selepas terapi ini, Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan bahawa sensasi lega itu hanyalah kesan sementara daripada tindak balas kecemasan badan.

Kekurangan oksigen pada otak memicu pelepasan hormon seperti adrenaline, dopamine dan endorphin, yang boleh menyebabkan rasa ringan, euforia atau lega sementara.

PHM menegaskan bahawa pengalaman itu serupa dengan perasaan orang yang hampir lemas tetapi berjaya bernafas semula, sangat melegakan namun tetap berbahaya.

Mereka menekankan bahawa otak memerlukan aliran darah dan oksigen yang berterusan, dan risiko teknik ini termasuk jantung terhenti mengejut, terutama bagi individu yang mempunyai masalah jantung atau saluran darah yang tidak disedari.

KKM dan PHM menasihatkan orang ramai jangan mencuba terapi ‘tidur 6 saat’. Rawatan yang selamat hanya boleh diperoleh daripada pengamal perubatan berdaftar, sama ada perubatan moden atau amalan PT&K yang diiktiraf.

Kaedah ini bukan sahaja berbahaya, malah menyesatkan orang ramai terhadap konsep penjagaan kesihatan yang sebenar.

Nota penulis:

Maklumat lanjut mengenai ‘tidur 6 saat’ boleh lawati portal MyCheck Malaysia, yang merupakan inisiatif semakan fakta ditubuhkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi membanteras penyebaran maklumat palsu.

Sumber: BERNAMA

FT Image: Media sosial

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×