Mengalunkan bacaan Al-Quran dengan suara yang lunak merdu ini merupakan salah satu kelebihan yang diimpikan oleh semua umat Islam. Salah seorang insan bertuah yang memiliki ‘rezeki’ ini adalah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin apabila menjadi Tetamu Diraja dalam salah sebuah program mengaji televisyen.
Ternyata, momen baginda mengalunkan bacaan Al-Quran di kaca televisyen ini mendapat pujian ramai!
Baca juga: 6 Raja Permaisuri Jelita Yang Menjadi Penyeri Istana & Idola Rakyat, Ini Pilihan Netizen..
SEDAP SUARA TENGKU PERMAISURI SELANGOR MENGAJI, DAPAT KOMEN TUNKU AZIZAH JUGA!

Foto: Instagram @selangorroyalofficial
Dalam program yang hanya berlangsung di bulan Ramadan dan disiarkan secara langsung ini, Baginda berkenan untuk mengaji bersama-sama Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tuan Haji Abdul Karim Maaseng Al-Makki, Fakhrul Radhi serta Ustazah Sofizah Mousin melalui aplikasi Skype.
Baginda berkenan membaca Surah Fussilat ayat 44, dan di akhir bacaan mendapat maklum balas serta komen positif daripada ahli panel. Malah, suara baginda yang lunak dan penuh ketenangan bukan sahaja memukau penonton, tetapi turut mendapat pujian daripada kerabat diraja serta netizen yang meninggalkan komen di laman Instagram @selangorroyalofficial.
Apa yang lebih menarik, baginda turut berkongsi pengalaman peribadi serta titipan nasihat bermakna yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, momen ini menjadi lebih menarik apabila mendapat komen di laman Instagram daripada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Masa pergi haji, sempat kami mengaji bersama di Madinah. Memang Tengku Permaisuri pandai mengaji dan suaranya lemak merdu. Alhamdulillah,” ulas Tengku Ampuan Pahang di ruangan komen.
Dalam program itu juga, hos sempat bertanya kepada Tengku Permaisuri tentang lauk kegemaran baginda ketika sahur dan berbuka. Jawapan yang diberikan amat merendah diri.
“Saya ini ringkas orangnya. Tuanku Sultan Selangor pun santap kurma sahaja untuk sahur, sama dengan saya juga. Manakala untuk berbuka, kami makan sahaja lauk yang dihidangkan. Tapi saya lebih suka lauk kampung. Telur dadar dengan ikan goreng pun sudah cukup,” ujar baginda.
“BACA AL-QURAN SATU HARI SATU AYAT PUN TIDAK MENGAPA..”

Selain itu, Tengku Permaisuri juga sempat menitipkan pesanan bermanfaat buat seluruh rakyat Malaysia bersempena Ramadan yang bakal berakhir dalam beberapa hari lagi.
“Sebenarnya, saya ingin menasihatkan penonton di luar sana yang mungkin masih berusaha untuk memperbaiki bacaan al-Quran, teruskan perjuangan anda dan carilah guru-guru yang benar-benar layak untuk mengajar bacaan al-Quran supaya kita mendapat bimbingan yang terbaik.
“Seperti yang Imam katakan tadi, jadikanlah al-Quran ini sebagai pendamping kita dan kalau boleh, bacalah satu hari satu ayat pun tidak mengapa.
“Jangan tidak membaca langsung kerana amalan ini yang akan memberikan kita syafaat dan pertolongan di akhirat kelak. Saya doakan semoga segala urusan dipermudahkan bagi sesiapa yang berusaha untuk mempelajari dan mendalami al-Quran,” titah baginda.
View this post on Instagram
*Manis betul bila tengok semula video ini. Semoga boleh dijadikan contoh buat para rakyat supaya lebih rajin mendalami ilmu Al-Quran.
Baca lagi: 10 Kerabat Diraja Yang Kahwin Dengan Rakyat Biasa, Demi Cinta Lautan Api Sanggup Diredahi!
Sumber: Instagram @selangorroyalofficial
