Euforia Bola 2026
Asuh

Anak Jadi ‘Extra Aktif’ Lepas Makan Jajan Berwarna Terang? Cuba Semak Dulu Label, Mungkin Ada Bahan INI!

jajan anak

Makanan ringan atau jajan anak yang berwarna-warni sering menjadi pilihan si kecil kerana rupanya yang menarik dan rasanya yang manis. Namun di sebalik warna terang tersebut, ada satu bahan yang mungkin tidak disedari oleh ramai ibu bapa iaitu tartrazin.

Baca juga: Anak Selalu Lupa Bawa Buku Ke Sekolah? Mungkin Ini Punca Sebenarnya, Ibu Ayah Jangan Terus Marah

SEMAK LABEL JAJAN ANAK MENGANDUNGI TARTRAZIN

jajan anak

Gambar hiasan: Gemini AI

Tartrazin ialah sejenis pewarna makanan sintetik yang banyak digunakan dalam pelbagai produk makanan dan minuman untuk menjadikannya lebih menarik di mata pengguna, terutama kanak-kanak.

Walaupun penggunaannya dibenarkan dalam industri makanan, ibu bapa tetap disarankan untuk mengetahui apakah tartrazin dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada sesetengah kanak-kanak.

Apa itu tartrazin?

Tartrazin merupakan pewarna makanan sintetik berwarna kunin. Bahan ini lazim ditemui dalam gula-gula, minuman berperisa, jeli, aiskrim, kek, biskut, cereal berwarna serta pelbagai jenis jajan yang dijual di pasaran.

Fungsinya adalah untuk menjadikan sesuatu produk kelihatan lebih cerah, menarik dan menyelerakan.

Benarkah tartrazin boleh menjejaskan kanak-kanak?

Tidak semua kanak-kanak akan mengalami kesan negatif selepas mengambil makanan yang mengandungi tartrazin.

Namun begitu, bagi sesetengah individu yang sensitif, bahan ini dikaitkan dengan perubahan tingkah laku seperti menjadi lebih aktif, sukar memberi tumpuan atau mengalami gangguan perhatian.

Selain itu, ada juga kanak-kanak yang boleh mengalami reaksi alahan seperti gatal-gatal, ruam atau gegata selepas mengambil makanan yang mengandungi pewarna tersebut.

Jika ibu bapa mendapati anak menunjukkan perubahan tertentu selepas mengambil makanan berwarna terang, mungkin sudah tiba masanya untuk memeriksa kandungan pada label produk.

Baca juga: Resipi CAKOI LABU Untuk Bayi Usia Bawah 2 Tahun, Anak Cerewet Mesti Jatuh Cinta!

NAMA LAIN SELAIN TARTRAZINE PADA LABEL JAJAN

Tartrazin tidak semestinya ditulis menggunakan nama yang sama pada semua produk. Antara istilah yang perlu diperhatikan ialah:

  • Tartrazine
  • INS 102
  • E102
  • Yellow 5
  • FD&C Yellow No. 5

Jika salah satu nama ini tertera pada label ramuan, bermakna produk tersebut mengandungi tartrazin.

jajan anak

Gambar: PHM

Pakar kesihatan menegaskan bahawa bukan semua makanan yang mengandungi tartrazin perlu dielakkan sepenuhnya.

Namun, pengambilan jajan berwarna terang, gula-gula dan minuman manis secara berlebihan tidak digalakkan, terutama bagi kanak-kanak yang masih dalam proses tumbesaran.

Sebagai ibu bapa, memilih makanan yang kurang diproses dan lebih berkhasiat adalah langkah terbaik untuk kesihatan anak dalam jangka panjang.

Anak tidak memerlukan makanan yang paling berwarna-warni untuk gembira. Sebaliknya, mereka memerlukan makanan yang lebih seimbang, selamat dan menyokong perkembangan tubuh serta minda secara optimum.

Baca juga: Ibu Terlelap Saat Menyusu, Bayi 2 Bulan Meninggal Tersepit Celah Dada…Doktor Dedah Risiko Ramai Tak Sedar!

Sumber: Public Health Malaysia

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×