Mencetuskan perdebatan ramai apabila Ahli Parlimen Klang, YB Ganabatirau Veraman, menyeru kerajaan agar lebih peka dalam menetapkan tarikh SPM 2025 dan peperiksaan kebangsaan supaya tidak bertembung dengan sambutan Deepavali.
Katanya, ini bagi memastikan pelajar berketurunan India dapat meraikan festival dengan tenang tanpa tekanan akademik mahupun gangguan emosi. Macam itu pula?
Baca juga: KPM Umum Cuti Tambahan Deepavali 2025, Warga Sekolah Nikmati ‘Pesta Cahaya’ Selama Lima Hari!
TARIKH SPM 2025, PEPERIKSAAN KEBANGSAAN DEKAT SANGAT DENGAN DEEPAVALI, NANTI PELAJAR STRES?

Foto: Facebook YB Ganabatirau Veraman
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau meluahkan kebimbangan terhadap pelajar yang terpaksa menduduki peperiksaan pada minggu perayaan, sedangkan waktu tersebut sepatutnya menjadi masa untuk bersama keluarga dan menjalankan tradisi keagamaan.
“Apabila tarikh peperiksaan jatuh serentak dengan Deepavali, pelajar bukan sahaja tertekan, malah terpaksa mengorbankan masa berharga bersama keluarga. Ini menjejaskan keseimbangan antara pelajaran dan budaya, satu keadaan yang tidak adil dan perlu diperbetulkan,” katanya.
Ganabatirau turut mempersoalkan perbezaan tempoh cuti antara perayaan utama di Malaysia. Katanya, ada perayaan yang diberi cuti sehingga seminggu, manakala Deepavali hanya diperuntukkan satu hingga tiga hari sahaja.
Perbezaan ini, katanya, mencetus konflik sosial dan emosi, terutamanya apabila pelajar terpaksa membuat pilihan antara tanggungjawab akademik atau menyambut perayaan bersama keluarga. Beliau mencadangkan agar jadual peperiksaan disusun dengan lebih sensitif terhadap kepelbagaian budaya, serta cuti Deepavali dilanjutkan supaya semua pelajar dapat menikmati suasana perayaan tanpa rasa terbeban.
“Dasar pendidikan seharusnya mencerminkan semangat kepelbagaian negara ini. Dengan pendekatan lebih inklusif, kita bukan sahaja mengurangkan tekanan pelajar, malah memupuk rasa hormat dan penerimaan terhadap pelbagai budaya di Malaysia,” ujarnya.
SPM PERNAH DIJALANKAN SEMASA BULAN PUASA, TAK ADA SIAPA PUN MERUNGUT – BEKAS GURU

Foto: The New Straits Times Press Berhad
Namun, kenyataan itu turut mengundang pandangan balas daripada bekas guru dan pempengaruh pendidikan, Mohd Fadli Salleh, yang tampil berkongsi pengalaman peribadi semasa menduduki SPM.
Menurutnya, pelajar dahulu tidak pernah menjadikan musim perayaan atau bulan ibadah sebagai alasan untuk meminta perubahan jadual peperiksaan.
“Masa saya ambil SPM dulu, peperiksaan dijalankan dalam bulan puasa. Kami berpuasa, penat, lapar, raya pun dah dekat — tapi tak ada siapa pun merungut minta KPM ubah tarikh. Padahal majoriti pelajar masa tu beragama Islam,” katanya.
Tambahnya lagi, ramai yang tetap mendapat keputusan cemerlang walaupun peperiksaan dijalankan dalam bulan puasa, dan tidak ada yang menyalahkan situasi tersebut sebagai punca kegagalan.
“Yang dapat keputusan kurang baik pun tak pernah kata sebab exam masa puasa. Semua terima dengan tenang,” jelasnya.
Perdebatan antara dua pandangan ini mencerminkan isu yang lebih besar iaitu bagaimana sistem pendidikan boleh meraikan kepelbagaian budaya tanpa menjejaskan keadilan akademik.
Sama ada kerajaan akan mempertimbangkan cadangan YB Ganabatirau atau kekal dengan jadual sedia ada, isu ini jelas membuka ruang perbincangan tentang bagaimana Malaysia sebagai negara majmuk boleh terus seimbangkan tradisi, keadilan, dan keperluan pelajar. Kalau adik-adik memang ‘power’, nak duduk peperiksaan bila-bila masa pun boleh!
Sumber: Mohd Fadli Salleh, Ganabatirau Veraman
