Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan SPM 2025 akan diumumkan pada 31 Mac 2026 (Selasa). Seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
TARIKH KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SPM 2025 UMUM 31 MAC (SELASA)

Pengumuman ini pastinya menjadi detik yang dinantikan oleh para pelajar selepas berusaha keras sepanjang tempoh pembelajaran dan peperiksaan.
Bagi calon sekolah, keputusan peperiksaan boleh diperoleh di sekolah masing-masing bermula pukul 10:00 pagi pada 31 Mac 2026.
Pihak sekolah juga diminta memastikan proses penyerahan keputusan kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur bagi memudahkan urusan pelajar.
Bagi calon persendirian pula, mereka boleh mendapatkan keputusan dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Langkah ini bagi memastikan setiap calon dapat memperoleh keputusan peperiksaan dengan mudah. Selain mengambil keputusan di sekolah, calon juga boleh membuat semakan secara dalam talian melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan.

Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah berikut:
1. Secara dalam talian melalui pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 mulai pukul 10:00 pagi pada 31 Mac 2026 (Selasa) sehingga pukul 6:00 petang pada 6 April 2026 (Isnin).
2. Ssecara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 dengan menaip SPM NoKP AngkaGiliran dan hantar ke 15888.
Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10:00 pagi pada 31 Mac 2026 (Selasa) sehingga pukul 6:00 petang pada 6 April 2026 (Isnin).
Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua calon yang telah menduduki peperiksaan SPM Tahun 2025.
Semoga keputusan yang diperoleh menjadi pemangkin untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun kerjaya pilihan masing-masing.
Sumber: Buletin TV3
