Di sebalik kesibukan hidup seharian, ramai yang tidak menyedari bahawa mereka mungkin sedang mengalami masalah mental ringan. Perubahan kecil dalam emosi, tingkah laku atau corak tidur boleh menjadi petunjuk awal kepada tekanan yang semakin meningkat.
Oleh itu, penting untuk setiap individu, terutama ahli keluarga dan penjaga, mengenal pasti petunjuk awal ini agar tindakan susulan dapat diambil sebelum masalah menjadi lebih serius.
Baca juga: Kajian Dedah Daun Jambu Batu Boleh ‘Lawan’ Virus Influenza A, Bukan Sekadar Tanaman Biasa
8 TANDA INI BUKTIKAN ANDA ADA MASALAH MENTAL RINGAN, JAGA-JAGA

Freepik
Berikut adalah antara tanda-tanda umum masalah mental ringan yang perlu diberi perhatian:
1. Gangguan tidur
Salah satu petunjuk awal yang paling biasa adalah perubahan dalam corak tidur. Sesetengah orang mungkin menghadapi kesukaran untuk tidur walaupun tubuh terasa letih.
Gangguan tidur yang berpanjangan boleh menjejaskan keseimbangan emosi, daya tumpuan serta keupayaan untuk membuat keputusan.
2. Tanda masalah mental ringan – perubahan emosi
Individu mungkin menjadi lebih mudah tersinggung, marah atau menangis tanpa sebab yang jelas. Perasaan sedih atau kosong yang tidak dapat dijelaskan juga merupakan satu tanda.
Kadangkala, perubahan ini berlaku secara mendadak, menyebabkan individu merasa tidak mampu mengawal emosi mereka sendiri. Jika dibiarkan, perubahan ini boleh memberi kesan kepada hubungan sosial dan prestasi kerja atau pembelajaran.
3. Kelesuan fizikal dan mental
Walaupun mendapat tidur dan rehat yang mencukupi, individu masih berasa letih dan tidak bertenaga. Rasa lesu ini tidak hanya berlaku secara fizikal, tetapi turut melibatkan keletihan mental yang menyebabkan mereka hilang semangat untuk melakukan aktiviti harian. Keadaan ini sering digambarkan sebagai perasaan ‘kosong’ atau ‘terhenti’ di dalam fikiran.
4. Tanda masalah mental ringan – hilang minat dengan aktiviti harian
Individu yang mula menunjukkan tanda-tanda masalah mental ringan biasanya akan kehilangan minat terhadap perkara yang sebelum ini mereka sukai, seperti hobi, bersosial atau aktiviti keluarga. Apa sahaja yang pernah mendatangkan kegembiraan kini dirasakan tidak bermakna atau tidak menarik.
5. Ada masalah ingatan
Tanda masalah mental ringan selanjutnya adalah mereka mungkin mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian dalam perbualan, kerja atau pembelajaran. Maklumat mudah juga sering dilupakan, dan kadangkala mereka merasa fikiran terlalu penuh atau langsung tidak dapat ‘berfungsi’ secara normal.

Freepik
6. Kurang interaksi sosial
Individu mungkin mula mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan. Mereka enggan menyertai perbualan, mengelak daripada menghadiri acara sosial, dan lebih selesa bersendiri di bilik atau ruang peribadi. Penarikan diri ini bukan sekadar kerana keletihan, tetapi kerana wujudnya tekanan dalaman yang tidak dapat diluahkan.
7. Bimbang melampau
Rasa cemas berlebihan terhadap perkara-perkara kecil atau tidak penting boleh menjadi petanda awal gangguan mental. Individu mungkin merasa jantung berdebar, berpeluh tanpa sebab, atau sukar bernafas apabila memikirkan sesuatu yang sepatutnya tidak mencetuskan ketakutan. Keadaan ini boleh datang secara tiba-tiba dan menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan.
8. Tanda masalah mental ringan – sukar urus aktviti harian
Perkara kecil yang sebelum ini mudah ditangani kini dirasakan berat atau membebankan. Individu mungkin merasa mudah tertekan hanya kerana kesilapan kecil atau perubahan rutin dan tidak mampu mengendalikan emosi apabila berdepan situasi tidak dijangka.
Setiap individu mungkin mengalami tanda masalah mental ringan ini secara berbeza dari segi kekerapan, intensiti dan tempoh. Walaupun gejala-gejala ini tidak semestinya menandakan gangguan mental yang serius, ia tetap merupakan isyarat bahawa minda dan emosi seseorang sedang berada dalam tekanan.
Baca juga: Nurse ‘Mental’ Kena Jaga Pesakit Berat Badan 140KG, “Nak Pusing Tukarkan Lampin Pun Susah…”
Sumber: KKM & Pusat Kesihatan UPM
