Euforia Bola 2026
Asuh

“Saya Doa Orang Nampak Dia Indah”- Tanda Lahir Bayi 13 Bulan Ini Jadi Perhatian, Ramai Puji Dilan Comel

tanda lahir

Bagi sesetengah ibu bapa, kehadiran cahaya mata merupakan satu anugerah yang tidak ternilai, termasuk apabila anak dilahirkan dengan keadaan unik seperti tanda lahir yang jelas pada wajah. Walaupun pada awalnya mengejutkan, ramai ibu bapa akhirnya memilih untuk menerima dengan hati terbuka dan penuh reda.

Itulah kisah yang dikongsi seorang ibu kepada bayi lelaki berusia 13 bulan, apabila wajah anak bongsunya itu menjadi perhatian selepas gambarnya tular di media sosial.

Baca juga: Murid Tahun 4 Meninggal Dunia Disyaki Strok Haba, “Al-Fatihah Buat Anak Abah”– Titipan Bapa Undang Sayu

TANDA LAHIR ANAK JADI ‘PEMANIS’ WAJAH – IBU

tanda lahir

Gambar eksklusif temu bual Harian Metro: Nur Dalilah Ismailuddin bersama anaknya Wan Dilan Hilman yang mempunyai tanda lahir di wajah.

Menurut ibunya, Nur Dalilah Ismailuddin, 37, dia menganggap tanda lahir pada wajah anaknya, Wan Dilan Hilman, sebagai satu keunikan yang tersendiri, malah mendoakan agar sesiapa yang memandang anaknya melihatnya sebagai sesuatu yang indah.

“Bagi saya, tanda lahir pada wajahnya itu ‘pemanis’. Saya selalu berdoa kepada Allah SWT supaya sesiapa melihat anak saya seperti memandang sesuatu yang indah,” katanya.

Dilan dilahirkan dengan tanda lahir pada bahagian atas mata kanan, sesuatu yang hanya disedari selepas kelahiran apabila doktor memaklumkan keadaan tersebut kepada keluarga.

Momen awal jadi ibu penuh emosi

Nur Dalilah berkongsi bahawa pada awalnya dia melalui fasa terkejut dan penafian apabila mengetahui keadaan anaknya itu. Dia juga memikirkan bagaimana Dilan akan berdepan persepsi masyarakat apabila membesar kelak.

“Saya terus termenung lama manakala suami, Wan Fahti Kamil Wan Hashim, 37, kelihatan tenang.

“Awalnya saya dalam fasa penafian juga kerana memikirkan macam mana anak saya nak berdepan dengan persepsi orang sekeliling apabila sudah besar nanti,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Pandamaran.

Lantaran itu, Nur Dalilah mengambil masa seharian untuk menerima hakikat selain mendapat sokongan suami dan keluarga terdekat yang banyak memberikannya semangat.

Baca juga: Datin Seri Shahida Dedah Anak Ke-4 Hidap ADHD, “Yusoff Pernah Duduk Atas Genting Rumah Nak Jadi ‘Superhero’!”

tanda lahir

Gambar eksklusif temu bual Harian Metro.

Tanpa membuang masa Nur Dalilah terus cari maklumat tentang tanda lahir 

“Saya reda dan terima kerana sedar anak saya dilahirkan sihat, bukannya terlantar sakit.

“Lagipun, Allah SWT sudah ciptakan Dilan sedemikian rupa jadi kena terima…saya pun usaha cari maklumat berkaitan tanda lahir serta komuniti yang sama,” kongsinya lagi.

Sebagai ibu, Nur Dalilah mula mencari maklumat lanjut mengenai tanda lahir termasuk jenis-jenis dan keadaan kesihatan yang berkaitan. Daripada situ, dia memahami bahawa setiap tanda lahir mempunyai bentuk dan risiko yang berbeza.

“Daripada situ, baru saya tahu tanda lahir manusia ada pelbagai jenis. Kata doktor, saiz tanda lahir Dilan sederhana tapi akan membesar apabila kulit menegang.

“Cuma jika ia membesar, ada kemungkinan tanda lahir itu hidup dan boleh menjadi punca barah,” katanya.

Buat masa ini, Dilan perlu menjalani pemeriksaan di hospital setiap enam bulan termasuk ujian darah dan prosedur imbasan bagi memantau keadaan kesihatannya.

Katanya, Dilan juga sudah menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini namun belum ada keputusannya ketika temu bual dilakukan.

“Bimbang juga nak tunggu keputusan sebab tak nampak apa yang ada di dalam badan Dilan tapi harap semuanya dalam keadaan baik.

“Sekarang, Dilan sudah boleh berjalan dan setakat ini tak ada yang kecam di media sosial tapi ramai kata comel,” katanya.

Baca juga: Usia Anak Lebih 2 Tahun Masih Belum Bercakap, Azmi Saat Sabar Menanti Panggilan ‘Ayah’ & Sedia Tanggung Kos Tinggi Terapi

Harapan Nur Dalilah terhadap masa depan Dilan

Selagi ada kudrat, Nur Dalilah berkata, dia berjanji akan menjaga dan membesarkan Dilan dengan sebaiknya.

“Sebagai emak, saya nak dia (Dilan) membesar macam kanak-kanak lain dan harapnya tanda lahir itu tidak memudaratkannya.

“Saya berharap juga semoga Dilan jadi anak yang kuat dan orang tak nampak dia sebagai sesuatu yang pelik tapi sama saja seperti insan lain.

“Saya pun ada berhubung dengan seorang gadis iaitu Mimi (Nursyamimi Afrina Mohamed, 27,) untuk dapat kekuatan kerana dia pun dilahirkan dengan tanda lahir lebih kurang sama seperti Dilan cuma sudah dewasa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

FT Image: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×