Badan terlebih gula bukan sekadar menyebabkan berat badan naik, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan secara keseluruhan.
Malangnya, ramai yang tidak menyedari tubuh mereka sebenarnya sedang menunjukkan tanda-tanda awal akibat pengambilan gula yang berlebihan setiap hari.
6 TANDA BADAN TERLEBIH GULA, PATUT CEPAT LEMAU

Kredit: Magnific
Jika tanda-tanda ini diabaikan, ia boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan termasuk obesiti, diabetes dan penyakit jantung.
Berikut merupakan enam tanda yang sering dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan menurut pakar kesihatan.
1. Selalu rasa lapar walaupun baru makan
Pernah makan dalam kuantiti yang banyak tetapi masih terasa lapar tidak lama kemudian? Pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan paras gula dalam darah naik dengan cepat sebelum turun secara mendadak.
Keadaan ini membuatkan badan menghantar isyarat bahawa anda memerlukan lebih banyak makanan walaupun sebenarnya keperluan tenaga telah mencukupi.
Akibatnya, seseorang cenderung makan lebih kerap dan sukar mengawal selera makan.
2. Cepat letih dan kurang bertenaga
Ramai menyangka minuman manis mampu memberi tenaga sepanjang hari. Hakikatnya, tenaga yang diperoleh daripada gula biasanya bersifat sementara.
Selepas lonjakan tenaga berlaku, badan akan mengalami “sugar crash” iaitu keadaan di mana paras tenaga menurun secara mendadak. Ini menyebabkan seseorang berasa lesu, mengantuk dan sukar memberi tumpuan.
3. Kerap dahaga & mulut kering
Rasa dahaga yang berlebihan juga boleh menjadi petanda badan menerima terlalu banyak gula.
Apabila paras gula dalam darah meningkat, buah pinggang perlu bekerja lebih keras untuk menyingkirkan lebihan gula melalui air kencing. Proses ini menyebabkan badan kehilangan lebih banyak cecair dan membuatkan seseorang lebih kerap berasa haus.
4. Kulit mudah berjerawat
Pengambilan makanan tinggi gula boleh mencetuskan keradangan dalam badan dan meningkatkan penghasilan hormon tertentu yang merangsang pengeluaran minyak pada kulit. Akibatnya, masalah jerawat lebih mudah berlaku terutama pada wajah, dada dan belakang badan.
Walaupun jerawat boleh disebabkan pelbagai faktor, diet tinggi gula sering dikaitkan dengan keadaan ini.

Kredit: Magnific
5. Berat badan mudah naik
Jika berat badan meningkat walaupun tidak makan dalam kuantiti yang banyak, kandungan gula dalam makanan dan minuman harian mungkin menjadi puncanya.
Minuman bergula seperti teh ais, kopi segera, minuman berkarbonat dan minuman boba mengandungi kalori yang tinggi tetapi kurang memberikan rasa kenyang.
6. Selalu teringin makanan manis
Satu lagi petanda yang ramai tidak sedar apabila badan terlebih gula ialah keinginan berterusan untuk menikmati makanan atau minuman manis.
Lebih banyak gula yang diambil, lebih tinggi keinginan badan untuk mendapatkannya semula. Kitaran ini menyebabkan seseorang sukar mengurangkan pengambilan gula kerana badan sudah terbiasa dengan rangsangan tersebut.
Jika anda sering mencari kek, coklat, ais krim atau minuman manis setiap hari, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula tabiat pemakanan.
Baca juga: Doktor Kongsi Serbuk Kayu Manis Boleh ‘Lawan’ Penyakit Cyst, Amalkan Selama 4 Bulan Pasti Ada Beza!
Sumber: Healthline
