Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), satu inisiatif subsidi bersasar yang memastikan hanya rakyat Malaysia dapat menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Langkah ini bukan sahaja mengekalkan beban kos sara hidup pada tahap yang terkawal, malah memastikan subsidi disalurkan dengan lebih telus dan adil.
Paling penting, ia menutup ruang ketirisan yang selama ini turut dinikmati pihak yang tidak layak. Hal ini telah mendapat perhatian rakyat dan boleh dikatakan rakyat menyambut baik pelaksanaan BUDI95.
Rakyat lega, termasuk pemandu e-hailing & teksi
Bagi pemandu teksi dan e-hailing, minyak adalah kos paling besar setiap hari. Sebab itu, pengumuman BUDI95 ini disambut baik.

Aminuddin Bin Sujai, pemandu teksi
Aminuddin bin Sujai, pemandu teksi berpengalaman, menyifatkan inisiatif ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan.
“Dalam banyak perkara, ucapan terima kasih harus diberikan atas usaha ini,” katanya ringkas.

Aizat Ahmad, pemandu e-hailing
Aizat pula, seorang pemandu e-hailing sepenuh masa, melihat kesan positifnya kerana penjimatan kecil pun membawa makna besar.
“Sekurang-kurangnya ada lebihan RM60 hingga RM80 setiap bulan untuk kami,” ujarnya.
Walaupun pengalaman mereka berbeza, kedua-duanya sepakat bahawa BUDI95 membuktikan kerajaan serius menjaga hak rakyat Malaysia.
Cuma harapan mereka satu iaitu sistem ini kekal konsisten, berjalan lancar dan tidak menambah beban baharu kepada pemandu yang setiap hari bergantung pada minyak untuk mencari makan.
Mereka juga menghargai langkah kerajaan membenarkan pemandu e-hailing memohon kuota tambahan melebihi 300 liter sebulan, selain seluruh rakyat Malaysia kekal menikmati harga subsidi RM1.99 seliter.
Siapa dapat manfaat dari BUDI95?

Supaya lebih mudah faham, inilah cara kerajaan susun mekanisme subsidi ini:
Rakyat Malaysia (umum): Semua warganegara dengan lesen memandu aktif boleh isi minyak RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan siling kelayakan 300 liter sebulan.
Pemandu e-hailing: Mereka ini diberi kelonggaran kerana kerja bergantung kepada minyak. Jadi, tidak terikat dengan siling kelayakan 300 liter dan boleh mohon kuota tambahan melalui platform e-hailing berdaftar.
Pemandu teksi: Masih dapat harga subsidi, tapi melalui skim berbeza iaitu SKPS (Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi) menggunakan fleet card khas untuk kenderaan pengangkutan awam.
Maksudnya, setiap golongan tetap dapat nikmati harga subsidi, cuma saluran dan mekanismenya berbeza mengikut keperluan masing-masing.
Adakah pemandu e-hailing terima kelayakan sama?

Kerajaan turut sedar bahawa pemandu e-hailing sepenuh masa mungkin memerlukan kelayakan tambahan kerana penggunaan minyak mereka jauh lebih tinggi berbanding orang biasa.
Sehubungan itu, kerajaan kini sedang berbincang dengan syarikat e-hailing (EHO) untuk merangka penyelesaian khusus bagi kumpulan ini. Butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Kerajaan sebelum ini turut memaklumkan bahawa tiada had pembelian sekali sehari dikenakan. Kementerian Kewangan menegaskan, BUDI95 dilaksanakan untuk memenuhi keperluan harian rakyat, bukannya menyusahkan mereka.
Dalam masa sama, perbincangan sedang dijalankan dengan syarikat e-hailing bagi merangka mekanisme tambahan untuk pemandu sepenuh masa.
Apa kata pakar?
Langkah kerajaan ini turut mendapat perhatian pakar ekonomi yang melihatnya sebagai satu pembaharuan penting.
Menurut sumber, Mohd Sedek Jantan, Ahli Ekonomi Negara di IPPFA berkata rasionalisasi subsidi RON95 menandakan pencapaian penting dalam perjalanan reformasi struktur Malaysia.
“Dengan pengurangan perbelanjaan subsidi ini, ia dijangka membantu mengecilkan defisit fiskal serta memperbaiki kedudukan hutang kerajaan.” ujarnya.
Bagi Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, langkah ini dilihat sebagai keperluan mendesak.
“RON95 menyumbang 5% dalam Indeks Harga Pengguna dan merupakan bahan api paling banyak digunakan rakyat Malaysia. Merasionalisasikannya adalah langkah penting ke arah pengukuhan fiskal negara.” ujarnya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Manakala Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak akan terbeban.
“Semua rakyat Malaysia terus menikmati harga petrol bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter.
“Apa yang berubah ialah bukan warganegara dan pengguna korporat kini perlu membayar harga pasaran. Ini memastikan subsidi sampai kepada mereka yang sepatutnya.” ujarnya.
BUDI95 jelas bukan sekadar pelan subsidi minyak, tetapi strategi jangka panjang untuk memastikan ekonomi negara lebih mampan dan adil.

Dengan pendekatan ini, rakyat Malaysia kekal menikmati harga minyak yang berpatutan, manakala penjimatan hasil subsidi dapat disalurkan kepada pembangunan negara.
Langkah ini juga memberi kelegaan kepada golongan yang benar-benar bergantung kepada minyak setiap hari seperti pemandu teksi dan e-hailing, sambil menutup ruang ketirisan yang selama ini membebankan negara.
