Mulai 30 September 2025, semua warganegara dengan lesen memandu sah boleh membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter melalui inisiatif kerajaan baharu, BUDI95.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa subsidi ini diberikan tanpa mengira pendapatan bagi memastikan semua rakyat Malaysia menikmatinya.
Had 300 liter sebulan
Setiap rakyat Malaysia layak menikmati subsidi sehingga 300 liter sebulan. Menurut Jabatan Perangkaan, lebih 99% pemandu persendirian sebenarnya menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan, jadi had ini dijangka tidak menjejaskan kebanyakan pengguna.
Untuk pemandu e-hailing pula, mereka dikecualikan daripada had ini dan boleh memohon kuota tambahan mengikut keperluan.

Harga petrol baharu
Dengan pelaksanaan BUDI95, harga RON95 untuk rakyat Malaysia turun daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter.
Bagi bukan warganegara, harga yang dikenakan adalah sekitar RM2.60 seliter, manakala kenderaan berdaftar asing hanya dibenarkan mengisi RON97 seperti peraturan sedia ada.
Kerajaan menjelaskan langkah ini adalah sebahagian usaha memastikan subsidi dinikmati eksklusif oleh rakyat Malaysia.
Cara untuk anda nikmati subsidi ini
Menariknya, rakyat tidak perlu membuat sebarang pendaftaran kerana kelayakan diberikan secara automatik kepada semua pemegang lesen memandu sah.
Untuk menikmati harga subsidi, pengguna hanya perlu mengesahkan MyKad di pam atau kaunter stesen minyak. Alternatif lain, rakyat juga boleh menggunakan aplikasi digital seperti Touch ‘n Go eWallet, Setel (Petronas) dan CaltexGO.
Sebelum itu, pastikan cip MyKad dan lesen memandu anda masih sah agar tiada masalah ketika berurusan di stesen minyak.

Sumber gambar: Bernama
Tarikh penting yang perlu tahu
Bagi mengelakkan kesesakan, pelaksanaan subsidi ini dibuat secara berperingkat. Bermula 27 September, lebih 300,000 anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati harga subsidi.
Seterusnya, pada 28 September, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula mendapat akses awal.
Akhir sekali, bermula 30 September, lebih 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah akan dapat menikmati harga baharu RON95.
Penghargaan buat rakyat
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa penjimatan daripada BUDI95 akan disalurkan semula kepada rakyat melalui bantuan seperti STR dan SARA, selain terus menambah baik sektor kesihatan, pendidikan dan infrastruktur asas.
Beliau menegaskan bahawa langkah menurunkan harga petrol ini adalah tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia yang terus gigih berusaha dalam mendukung ekonomi negara.
“Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah,” kata Anwar.
#BudiMadaniRON95 #ManfaatRakyat
