Selepas kejayaan pelaksanaan projek perintis di Melaka, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini merancang untuk memperluaskan penubuhan Tabika KEMAS (Taman Bimbingan Kanak-Kanak) khas untuk anak-anak autisme ke seluruh negara bermula tahun hadapan.
Berita baik ini ternyata melegakan ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme serta tidak mampu untuk menanggung kos pembelajaran khas di tadika swasta yang agak tinggi.
TABIKA KEMAS KHAS UNTUK ANAK AUTISME BAKAL DIBUKA SELURUH NEGERI TAHUN DEPAN

Foto Sinar Harian.
Menurut laporan Sinar Harian, Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang, program istimewa di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ini akan dimulakan secara serentak di semua 14 negeri, dengan setiap negeri bakal memiliki satu tabika khas sebagai permulaan.
“Langkah ini diambil bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak autisme, khususnya di kawasan luar bandar. Ramai ibu bapa selama ini terpaksa membiarkan anak-anak mereka di rumah atau menghantar ke pusat swasta yang menelan kos tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan keluarga luar bandar,” katanya.
Beliau menjelaskan, usaha ini menunjukkan komitmen KEMAS sebagai agen perubahan masyarakat luar bandar, memastikan tiada anak istimewa tercicir daripada akses pendidikan awal yang bersesuaian.
“Kita bermula di Melaka, dan insya-Allah tahun depan kita akan kembangkan ke seluruh negara. Ini adalah usaha bersama untuk membawa pendidikan yang inklusif dan lebih prihatin kepada semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Tabika Istimewa KEMAS di Krubong, Melaka pada Selasa.
Tambah beliau, tabika khas ini akan dikendalikan oleh guru-guru terlatih yang telah menjalani latihan khusus bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebagai persediaan menguruskan anak-anak autisme dengan pendekatan yang lebih mesra dan efektif.

Foto: Tabika KEMAS Al-Hidayah
Sementara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Perubahan Iklim Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin memaklumkan, kerajaan negeri turut menyalurkan dana sebanyak RM300,000 untuk menaik taraf kemudahan di tiga tabika khas di negeri tersebut.
Peruntukan itu digunakan untuk memasang pendingin hawa serta menyediakan alat bantu mengajar demi keselesaan dan perkembangan anak-anak istimewa ini.
Baca juga: 15 Senarai Tadika/Pusat Terapi Seluruh Malaysia Untuk Anak Autisme & Keperluan Khas
Sumber: Foto (Selayang Lamo), Sinar Harian
