Satu rakaman tular di media sosial memaparkan detik cemas apabila sebuah kenderaan utiliti sukan SUV rempuh motosikal di sebuah jalan di Petaling Jaya.
Namun di sebalik video singkat itu, tersembunyi sebuah kehilangan yang jauh lebih besar, pemergian seorang anak muda yang sedang melakar masa depan.
SUV REMPUH MOTOSIKAL, PEMUDA DISENANGI PENSYARAH

Mangsa dikenali sebagai Azim Haikal Noor Aziddin, seorang pelajar Diploma Komunikasi yang difahamkan baru menamatkan latihan industri dengan cemerlang dan hanya menunggu detik untuk melangkah ke pentas konvokesyen.
Perkongsian menyentuh hati daripada pensyarahnya, Rahmahtunnisah Sailin, turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Dalam coretannya, beliau menggambarkan arwah sebagai seorang pelajar yang bukan sahaja berdisiplin, malah memiliki adab dan budi pekerti yang tinggi.
Lebih menyayat hati, pemergian itu berlaku sebelum Allahyarham sempat menggenggam diploma yang diimpikan.
“Telah kembali pelajar dan mentee saya Azim Haikal bin Noor Aziddin Diploma Komunikasi Sesi II 2022/2023. Arwah telah selesai menjalani latihan industri dengan jayanya pada sesi lepas dan bakal bergraduan dalam Konvokesyen Universiti Islam Selangor akan datang.

“Kami sebagai guru sangat menyenangi adab dan budi pekertinya yang baik, patuh dan disenangi juga rakan-rakan. Malah jiran-jirannya juga senang dengannya. Semoga ALLAH mengampuni menempatkannya dalam kalangan para solehin,” kongsinya.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 2.08 petang, Selasa.
Memetik Bernama, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari di Jalan 17/21 apabila sebuah Proton X70 yang dipandu lelaki warga emas berusia sekitar 70-an dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Baca juga: Tiada Lagi Ejaan ‘MOHD’ Pada Nama Anak, JPN Tetapkan Perlu Ditulis Secara Penuh
Sumber: Sinar Plus
