Susun atur rumah yang baik bukan sekadar soal kecantikan, trend moden atau kemewahan, sebaliknya melibatkan unsur keberkatan dan ketenangan seperti dianjurkan dalam Islam.
Pereka hiasan dalaman terkenal, Amin Yussoff, menekankan bahawa rumah yang sebenar bukan hanya cantik di mata manusia, tetapi perlu menjadi tempat turunnya rahmat dan ketenangan jiwa.
SUSUN ATUR RUMAH BERPANDUKAN AL-QURAN

“Rumah bukan tentang kemewahan, tetapi tentang keberkatan. Kalau nak bina rumah, rugilah kalau tak rujuk tujuh perkara yang disebut dalam al-Quran tentang susun atur atau layout rumah.
“Rumah yang dibina tanpa panduan al-Quran, yang siap cuma bangunan tapi tiada keberkatan,” katanya.
Berikut 7 prinsip utama daripada al-Quran yang dikongsikan Amin Yussoff untuk dijadikan panduan sebelum merancang reka bentuk rumah:
1. Ketenangan sebagai teras utama
Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi tempat menenangkan jiwa dan emosi. Dalam Islam, konsep ini disebut sebagai sakan, iaitu kediaman yang memberi rasa aman kepada penghuninya.
2. Hijab ruang antara tetamu dan keluarga
Islam amat menekankan adab serta privasi. Reka bentuk rumah perlu memastikan tetamu tidak terus melihat ruang peribadi seperti dapur atau bilik tidur sebaik melangkah masuk. Dinding pemisah atau ruang tamu khas amat digalakkan.
3. Tentukan arah kiblat dengan betul
Tandas atau bilik air tidak sepatutnya menghadap kiblat sebagai tanda menghormati arah solat. Ini menunjukkan kepekaan terhadap tuntutan agama selain melambangkan disiplin dan adab dalam pembinaan rumah.
4. Pencahayaan semula jadi
Rumah yang mempunyai cahaya matahari dan pengudaraan baik bukan sahaja menjimatkan tenaga tetapi juga menjadikan kediaman lebih sihat, segar dan ceria. Ini juga menggambarkan keseimbangan antara fizikal dan spiritual dalam Islam.
Baca juga: Wanita Kongsi Pengalaman Seram Dapur Kaca Meletup Ketika Memasak, Ikuti 4 Langkah Keselamatan Ini!

5. Asingkan ruang basah dan kering
Dapur dan bilik air perlu dibahagikan kepada zon basah dan zon kering. Reka bentuk ini penting bagi menjaga kebersihan, keselamatan serta memudahkan urusan ibadah seperti mengambil wuduk dengan selesa.
6. Ruang tengah sebagai pusat keluarga
Ruang tengah seperti ruang tamu, ruang makan atau tempat solat berjemaah perlu dijadikan pusat interaksi keluarga. Ia bukan hanya tempat berkumpul, tetapi simbol kasih sayang dan keharmonian dalam rumah tangga.
7. Hiasan sederhana, elak pembaziran
Islam mengajar kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Begitu juga dalam hiasan rumah — hindari pembaziran dan sifat riak, kerana keindahan sejati datang daripada keseimbangan dan kesyukuran.
Kesimpulan
Panduan ini bukan sekadar soal reka bentuk fizikal, tetapi mencerminkan nilai spiritual dan keindahan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Rumah yang dibina mengikut panduan al-Quran bukan hanya indah di mata, tetapi dihuni dengan ketenangan, kasih sayang dan keberkatan.
@aminyussoff
Baca juga: Cara DIY Pintu Rumah, Dari Kembang & Terkopek Terus ‘Glow Up’ Macam Hotel 5 Bintang!
Sumber: TikTok @aminyussoff
FT Image:
