“Berbaiklah semula dengan acik seperti dulu…” Antara petikan daripada surat yang didakwa ditulis seorang pemandu van sekolah berusia 68 tahun ini menjadi perhatian ramai selepas ia dikongsikan oleh seorang bapa di Threads.
Kandungan surat tersebut mencetuskan kebimbangan kerana mengandungi ayat yang kurang selesa yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
PEMANDU VAN DIDAKWA BERI SURAT KANDUNGAN MENGGELIKAN KEPADA KANAK-KANAK PEREMPUAN 12 TAHUN

Kandungan surat yang didedahkan oleh @poyoz87 dan mendakwa dikirimkan oleh pemandu van sekolah tersebut kepada anak perempuannya berusia 12 tahun.
Menerusi perkongsian di akaun Threads @poyoz87, bapa berkenaan mendakwa anaknya bukan sahaja menerima surat tersebut, malah turut berdepan gangguan secara lisan yang membuatkan kanak-kanak itu berasa takut dan tidak selesa.
“Macam-macam lagi ayat yang dicakap secara lisan pada anak, sampai anak saya tengok muka dia pun rasa meluat dan takut,” kongsinya.
Dalam perkongsian sama, bapa itu turut meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa individu terbabit masih dibenarkan bekerja walaupun laporan polis telah dibuat berhubung isu tersebut.
“Laporan polis dah dibuat, tangkapan pun dah dibuat, tapi dia dilepaskan atas faktor umur dan masih bebas bekerja seperti biasa,” kongsinya lagi.
Situasi itu, menurutnya, menimbulkan kebimbangan kerana anaknya masih perlu berada di kawasan sekolah yang sama dan berpotensi bertembung dengan individu berkenaan.
Perkongsian tersebut turut disertakan dengan kandungan surat bertulisan tangan yang didakwa dihantar oleh pemandu van itu kepada kanak-kanak berkenaan.
“Berbaiklah semula dengan acik seperti dulu hingga kekal bila-bila. Jangan la merajuk, sedih acik, hari-hari acik tak makan dan tak boleh tidur.
“Tolong la, jangan tinggalkan acik ya. Buatlah macam biasa. Walau macam mana pun awak XXX (nama kanak-kanak) tetap ada dalam hati acik,” tulis warga emas itu.
SIAP MINTA PANGGIL ‘AYANG’

Threads @poyoz87
Bapa tersebut turut mendakwa terdapat beberapa tingkah laku lain yang dianggap mencurigakan, termasuk panggilan yang tidak sesuai, ajakan untuk keluar bersama serta permintaan supaya kanak-kanak itu tidak menceritakan perkara tersebut kepada ibu bapa.
“Anak saya menerima surat tersebut kerana saya sudah memberi peringatan kepadanya untuk menjauhkan diri daripada pemandu itu selepas anak saya mengadu bahawa…
“Pemandu berkenaan mula mengatakan ayat yang tidak menyenangkan seperti mahu memanggilnya “ayang”, mahu ikut anak berjalan bersama di karnival sukan sekolah, serta ada cubaan menyentuh tangan anak,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, dia turut mendakwa individu itu cuba mendapatkan nombor telefon anaknya untuk dihubungi setiap malam.
Dalam masa sama, bapa tersebut menegaskan bahawa perkongsiannya di media sosial adalah sebagai peringatan kepada ibu bapa lain agar lebih berhati-hati dalam penggunaan perkhidmatan pengangkutan sekolah.
“Saya menulis di sini (Threads) untuk memberi peringatan kepada parent-parent lain supaya lebih berhati-hati,” nasihatnya.
Dia turut menasihatkan agar anak-anak dididik tentang sentuhan dan perbualan selamat serta tidak mudah mempercayai individu yang terlalu mesra secara tiba-tiba.
Sumber: Threads @poyoz87 (1), (2)
FT Image: Gemini / Threads @poyoz87
