Seorang wanita tidak menyangka penantian untuk dijemput suami bagi membeli kelengkapan Aidilfitri berakhir dengan khabar duka apabila lelaki itu maut selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Stadium, berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.
SUAMI MAUT DIHEMPAP POKOK, HASRAT BELI BAJU RAYA TAK KESAMPAIAN

Kredit: Berita Harian
Isteri mangsa, Ruzaina Ramli, 51, berkata suaminya, Ahmad Farazi Kasim, 51, sebelum itu memaklumkan baru selesai sesi fotografi raya di tempat kerjanya dan sedang dalam perjalanan untuk menjemputnya.
Menurutnya, arwah turut menghantar mesej WhatsApp kira-kira jam 12.40 tengah hari memberitahu sedang menuju ke pejabatnya di Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Jalan Stadium yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Namun kira-kira 30 minit kemudian, anak lelaki sulung telefon sambil menangis memberitahu arwah dihempap pokok selepas dia melihat MyKad ayahnya dalam WhatsApp kumpulannya.
“Saya minta kawan hantar ke tempat kejadian dan nampak anggota pasukan penyelamat sedang memotong dahan pokok sebelum mengalihkan arwah suami.
“Saya tanya pada rakan yang ada di situ bagaimana keadaan suami… dia cakap arwah dah tak ada, saya terima dengan reda,” jelasnya.
Ruzaina berkata, dia menjahit sendiri baju raya untuk suami dan anaknya dengan tema warna hijau tahun ini.

Kredit: NSTP
“Cuma saya tak sempat nak siapkan baju Melayu kedua untuk arwah kerana dia memang teruja nak pakai baju itu. Semalam dia sempat cuba baju kedua itu, tetapi saya tak habis jahit di tangan dan bahagian bawah baju.
“Hari ini pun kami tak rancang nak pergi mana, cuma dia WhatsApp beritahu dalam perjalanan nak ke Pekan Alor Setar… cadang nak tengok songkok dan baju rayalah,” katanya.
Menurutnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, namun naluri seorang isteri seakan memberi petanda dia bakal kehilangan orang tersayang.
Katanya, dia sudah bersedia menerima takdir sekiranya kehilangan ahli keluarga, namun tidak menyangka suaminya yang akan pergi terlebih dahulu.
“Saya terima takdir Allah akan kehilangan suami walaupun Aidilfitri sudah hampir,” luahnya.
Baca juga: “Ramai Sangka Saya Bawa Emak” – Lelaki Usia 28 Bahagia Kahwin Wanita 23 Tahun Lebih Tua..
Sumber: Berita Harian
