Shah Alam muncul sebagai ibu negeri paling mahal untuk didiami di Malaysia, menurut data terkini Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Rekod ini mencerminkan kos sara hidup yang lebih tinggi bagi pelbagai saiz isi rumah berbanding ibu negeri lain, sekali gus menonjolkan jurang ketara dalam perbelanjaan yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan wajar.
SHAH ALAM IBU NEGERI PALING MAHAL UNTUK DIDIAMI

Keputusan ini turut menunjukkan bahawa selain faktor gaji dan peluang pekerjaan, lokasi kediaman memainkan peranan penting dalam menentukan tahap perbelanjaan isi rumah, di mana Shah Alam terus mencatat kos yang melebihi nilai rujukan Kuala Lumpur, menjadikannya antara bandar yang paling membebankan dari segi kos hidup di negara ini.
Indeks ini menggunakan Kuala Lumpur sebagai rujukan pada 100 mata indeks dan bertujuan mengukur perbelanjaan yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan wajar bagi pelbagai saiz isi rumah, sekaligus membolehkan perbandingan kos kehidupan antara lokasi secara relatif.
Nilai indeks yang lebih tinggi menunjukkan perbelanjaan lebih tinggi diperlukan untuk mengekalkan kehidupan wajar berbanding Kuala Lumpur, manakala nilai lebih rendah mencerminkan kos lebih rendah.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata data terkini menunjukkan perbezaan kos hidup yang ketara antara lokasi, khususnya di peringkat ibu negeri.
“Bagi isi rumah seorang, Shah Alam mencatat Indeks PAKW tertinggi iaitu 99.8 mata, diikuti Johor Bahru (92.9) dan Georgetown (90.7). Seremban merekodkan 87.7, manakala Melaka 87.1. Indeks terendah dicatatkan di Kangar (59), Kota Bharu (61.5) dan Kuala Terengganu (68.2),” katanya.

Isi rumah dua orang di Shah Alam merekodkan 100.1 mata indeks, diikuti Johor Bahru (92.6) dan Georgetown (91.3). Isi rumah tiga dan empat orang pula mencatatkan Shah Alam sebagai yang tertinggi masing-masing pada 100.2 dan 100.3 mata indeks, manakala Kangar terus mencatat nilai terendah bagi setiap saiz isi rumah.
Menurut Dr Mohd Uzir, secara keseluruhan, Shah Alam adalah ibu negeri dengan kos kehidupan wajar melebihi Kuala Lumpur untuk pelbagai saiz isi rumah. Sebaliknya, Kangar kekal sebagai lokasi paling rendah, dengan kos hanya sekitar separuh daripada kos di Shah Alam.
“Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 memberi gambaran menyeluruh tentang perbelanjaan yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan wajar, sekaligus membantu pihak berkepentingan membuat perbandingan kos hidup antara lokasi serta memahami cabaran yang dihadapi isi rumah,” tambah beliau.
Baca juga: Ibu Kecewa Kantin Jual Mi Segera Di Hari Pertama Persekolahan, Anak Terus Makan
Sumber: Harian Metro
