Sekolah padat kembali menjadi topik perbualan hangat apabila satu perkongsian tular di media sosial mendedahkan senarai nama sekolah yang mencatatkan jumlah murid terlalu ramai dalam satu kelas bagi sesi 2025/2026.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh seorang bekas pendidik, Mohd Fadli Salleh, yang meluahkan kebimbangan terhadap keadaan bilik darjah yang semakin sesak, khususnya di sekolah menengah apabila ada kelas mencecah sehingga 58 orang murid.
Baca juga: [TERKINI] KPM Umum Pengambilan 20,000 Guru Baharu, Permohonan Dibuka 2 Mac Ini!
ISU SEKOLAH PADAT

Gambar hiasan: Gemini AI
Menurut Fadli Salleh, keadaan sekolah padat bukan sahaja menjejaskan keselesaan pembelajaran murid, malah memberi tekanan besar kepada guru yang terpaksa mengawal kelas dengan kapasiti luar biasa, sedangkan fizikal pelajar menengah sudah semakin membesar.
Kebimbangan itu turut diperbesarkan dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa kanak-kanak berusia enam tahun akan layak memohon kemasukan Tahun 1, sekali gus dijangka menjadikan bilik darjah lebih sesak pada tahun-tahun akan datang.
SENARAI SEKOLAH PADAT DI MALAYSIA
Berikut ialah senarai sekolah padat yang dikongsikan, melibatkan Tahun 1 dan Tingkatan 1 bagi sesi 2025/2026:

Gambar senarai nama sekolah padat yang dikongsikan di hantaran Facebook Mohd Fadli Salleh, semalam.
Baca juga: Gusar Hati Mak Ayah Kes Dera Makin Menjadi-Jadi, Ini 5 Cara Pilih Tadika Yang Selamat & Terbaik!
Reaksi warga maya
Isu sekolah padat ini nyata mencetuskan pelbagai reaksi di ruangan komen, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang mengakui sekolah anak mereka turut berdepan situasi sama.
Aziah mendakwa sekolah rendah di kawasannya mempunyai sehingga lapan kelas Tahun 1 yang padat, manakala sekolah menengah pula mencatat hampir 18 kelas Tingkatan 1, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana sistem pendidikan mampu menampung kemasukan murid serentak pada usia enam dan tujuh tahun.
Dalam pada itu, Shukri menjelaskan bahawa walaupun projek penambahan bilik darjah memang dilaksanakan, masalah tetap berulang apabila pertambahan pelajar berlaku seiring tanpa perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh.
Isu perancangan bandar turut disentuh oleh Rizal yang mempersoalkan kelulusan projek perumahan tanpa disusuli pembinaan sekolah baharu, menyebabkan sebuah sekolah terpaksa menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai.

Gambar hiasan: Gemini AI
LANGKAH KPM TANGANI ISU SEKOLAH TERLAMPAU RAMAI
Sebelum ini, susulan kebimbangan berterusan terhadap isu sekolah padat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pembinaan bilik darjah tambahan telah diluluskan segera bagi 18 sekolah padat di Selangor sebagai langkah jangka pendek untuk menangani masalah kelas sesak dan kekurangan prasarana yang menjejaskan pembelajaran murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, dengan penekanan bahawa tindakan diambil bukan kerana isu tular di media sosial, sebaliknya kerana ia merupakan tanggungjawab kementerian.
Selain pembinaan bilik darjah tambahan yang akan dilaksanakan secara berfasa, KPM turut mengarahkan penambahan waran guru bagi mengurangkan isu kekurangan tenaga pengajar di sekolah-sekolah terlibat.
Sebagai kesimpulan, rata-rata orang ramai berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya menyelesaikan isu sekolah padat sebelum pelaksanaan kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun tahun depan.
Penekanan turut diberikan agar bilik darjah tidak lagi diisi melebihi 40 murid, khususnya melibatkan murid Tahun 1, bagi mengelakkan beban berlebihan kepada guru serta memastikan pembelajaran murid lebih selesa dan berkesan.
Sumber: Mohd Fadli Salleh / Sinar Harian
FT Image: Gemini AI
