Tragedi menyayat hati menyelubungi sebuah kampung di Keningau, Sabah apabila insiden melibatkan senapang buatan sendiri atau bakakuk berakhir dengan kehilangan nyawa seorang pelajar Tingkatan Dua yang ketika itu sedang bermain bersama rakan di halaman rumah.
Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi, mangsa yang berusia 14 tahun dikatakan sedang bermain permainan sembunyi-sembunyi bersama rakannya sebelum satu letupan tidak sengaja dilepaskan dari jarak kira-kira tiga meter.
REMAJA 14 TAHUN MAUT DITEMBAK SENAPANG BUATAN SENDIRI

Gambar PDRM: Suspek menunjukkan lokasi kejadian di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau.
Mangsa yang rebah selepas terkena tembakan segera dikejarkan oleh penduduk kampung ke Hospital Keningau. Namun, usaha menyelamatkan nyawanya tidak berhasil apabila pihak perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun terlihat mangsa sedang memegang bakakuk sebelum meminta senjata tersebut untuk tujuan gurauan.
Menurut beliau, ketika permainan sedang berlangsung, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah. Suspek dipercayai secara tidak sengaja menarik picu senjata berkenaan lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Suspek panik dan segera meminta bantuan orang kampung yang melalui kawasan tersebut sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat sebanyak 14 kesan tembakan di beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut serta bahagian sisi kiri badan.
Siasatan lanjut turut mendapati senjata tersebut disorokkan oleh seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun yang merupakan adik kepada suspek. Bakakuk itu dipercayai milik bapa mereka yang berusia 70 tahun.
Ketiga-tiga individu iaitu dua beradik dan bapa mereka telah ditahan bagi membantu siasatan. Polis turut merampas senjata berkenaan, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Baca juga: Ibu Buta Merangkak Keluar Sejauh 150 Meter Minta Bantuan, Selepas Anak OKU Meninggal Dunia
Sumber: Berita Harian
FT Image: PDRM
