Memahami tentang Palestin penting dalam Islam adalah langkah awal untuk menyedari bahawa isu yang berlaku sekarang bukan hanya tentang kemanusiaan, tetapi juga tentang jati diri dan warisan agama kita sendiri.
Di sebalik segala yang berlaku sekarang, negara ini menyimpan sejarah agung para nabi dan menjadi lokasi salah satu masjid paling suci dalam Islam.
Baca juga: Musibah Boleh Datang Dari 6 Arah, Amalkan Doa Rasulullah SAW Ini Untuk Perisai Harian…
KENAPA PALESTIN PENTING DALAM ISLAM? INI JAWAPANNYA

Jadi, terdapat banyak sebab mengapa negara ini penting dalam Islam:
1. Masjid al-Aqsa
Salah satu sebab utama adalah kerana Masjid Al-Aqsa merupakan arah kiblat pertama umat Islam sebelum Allah memerintahkan untuk menghadap ke Kaabah di Mekah.
2. Bumi para nabi
Bumi Palestin menjadi salah satu tapak awal penyebaran risalah tauhid oleh para utusan Allah SWT. Di sinilah lahirnya ajaran ‘Millah Ibrahim’, yang menjadi asas kepada dakwah Nabi Muhammad SAW dalam menyempurnakan dan menutup rangkaian risalah para nabi yang terdahulu.
Tturut menjadi saksi turunnya wahyu daripada Allah kepada para nabi-Nya, sebagaimana yang tercatat dalam kitab-kitab suci agama Samawi seperti Yahudi, Kristian dan Islam.
Antara nabi yang pernah diutus atau tinggal di bumi ini termasuklah Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS, Nabi Luth AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Yusuf AS, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS, Nabi Syuib AS, Nabi Musa AS, Nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS, Nabi Isa AS dan ramai lagi yang diangkat oleh Allah dalam sejarah kenabian.
3. Tanah yang diberkati
Baitul Maqdis adalah tanah suci umat Islam, sebagaimana dinyatakan dan dijelaskan oleh Allah SWT tempat yang menjadi lokasi peristiwa Israk dan Mikraj.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’: 1)
Perjalanan Nabi SAW mengambil masa dalam satu malam dan kembali semula ke Makkah sebelum terbit fajar. Nabi SAW dikhabarkan menunggang ‘Buraq’ bersama Jibril AS dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis Palestin, sebelum diangkat dari bumi sehingga langit ketujuh.
4. Terletak di bumi Syam
Selain itu, dari segi geografi, Palestin terletak di bumi Syam yang disebut dalam hadis sebagai tanah yang diberkati. Nabi Muhammad SAW pernah berdoa agar bumi Syam diberi keberkatan dan para malaikat dikatakan membentangkan sayap mereka di atas bumi yang mulia ini.
Nabi SAW bersabda:
“Beruntunglah bagi penduduk Syam, maka kami bertanya: mengapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: kerana para malaikat membentangkan sayap-sayapnya kepada mereka.” (Riwayat at-Tirmizi).
6. Lokasi ketiga paling suci
Masjid Al-Aqsa merupakan antara tiga lokasi paling suci dalam Islam selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Terletak di kawasan kota lama Baitul Maqdis, Palestin, masjid ini telah memainkan peranan besar dalam sejarah Islam sejak awal kurun ketujuh, khususnya dalam perjalanan kehidupan Rasulullah SAW.
Istilah Al-Aqsa berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud “yang paling jauh”, merujuk kepada kedudukannya yang lebih jauh berbanding dua masjid utama yang lain dalam konteks perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis semasa peristiwa Israk Mikraj.
Jelaslah bahawa negara ini penting dalam Islam bukan sahaja kerana sejarahnya yang panjang, tetapi juga kerana peranannya yang besar dalam perjalanan dakwah para nabi dan kewujudan tempat-tempat suci di dalamnya.
Baca juga: Ustaz Kongsi Doa Agar Aurat Tidak Dilihat Oleh Jin, Setiap Kali Buka Baju, Kena Baca!
Sumber: Harakah & Harian Metro
