Baru-baru ini, persoalan mengenai sahur awal malam telah timbul, khususnya bagi mereka yang makan selepas solat tarawih. Adakah ia sudah dikira bersahur atau waktu sahur hanya bermula ketika hampir imsak?
Menurut penjelasan rasmi daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, waktu sahur mempunyai batasan tertentu berdasarkan dalil dan pandangan ulama.
Baca juga: Kadar Fidyah 2026 Lengkap Mengikut Negeri, Ini Cara Kira Yang Betul & Link Bayar Secara ‘Online’!
SAHUR AWAL MALAM, ADAKAH IA DIKIRA BERSAHUR?

Gambar hiasan: Gemini AI
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah, 183)
Kelebihan dan galakan bersahur
Bersahur merupakan sunnah yang sangat dituntut. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Hendaklah kamu bersahur kerana dalam makanan sahur itu ada keberkatan. Riwayat al-Bukhari (1923)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa para ulama bersepakat hukum bersahur adalah sunat dan padanya terdapat keberkatan kerana ia membantu menguatkan tubuh untuk berpuasa.
Malah Nabi SAW juga bersabda:
Maksudnya: Bersegeralah berbuka puasa dan lewatkanlah bersahur. Riwayat al-Thabrani (395)
Hadis ini menunjukkan bahawa melewatkan sahur adalah lebih afdhal.
Baca juga: Viral ‘Mandi Sunat Sebelum Sambut Ramadan’, Betul Ke Sunnah Nabi SAW Atau Sekadar Amalan Kosong?

Gambar hiasan: Gemini AI
Bila sebenarnya waktu sahur bermula?
Imam al-Nawawi menyebut:
Maksudnya: Waktu Sahur di antara pertengahan malan dan terbitnya fajar. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/360)
Ini bermaksud:
- Waktu sahur bermula selepas pertengahan malam (nisfu al-lail)
- Berakhir apabila masuk waktu Subuh (terbit fajar)
Sekiranya seseorang makan sebelum pertengahan malam, ia tidak dinamakan sebagai sahur dan tidak mendapat fadhilat sunnah.
Hal ini ditegaskan oleh para ulama seperti Syeikh Ibrahim al-Baijuri dan Syeikh Muhammad Syata al-Dimyati bahawa makan sebelum nisfu al-lail tidak dikira sahur dari sudut pahala sunnahnya.
Baginda SAW sendiri melewatkan sahur sebagaimana hadis berikut:
Maksudnya: Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”. Riwayat al-Bukhari (1921)
Ini menunjukkan sahur Baginda sangat hampir dengan waktu Subuh.
Kesimpulan berkenaan sahur awal malam
Berdasarkan nas dan pandangan ulama:
- Waktu sahur bermula pada pertengahan malam dan berakhir ketika terbit fajar.
- Makan sebelum pertengahan malam tidak dikira sebagai sahur serta tidak mendapat fadhilat dan kelebihan bersahur seperti yang disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dan Syeikh Muhammad Syata al-Dimyati.
- Walaupun sedikit, hatta seteguk air, selepas pertengahan malam tetap dikira bersahur.
- Afdhal melewatkan sahur hampir waktu Subuh.
Sebagaimana sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur. Riwayat Imam Ahmad (11102) di dalam Musnadnya
Justeru, jika makan pada jam 10 malam sebelum nisfu al-lail, ia belum dikira sahur. Sebaiknya ambil sedikit makanan atau minuman selepas pertengahan malam bagi meraih keberkatan sunnah.
Wallahu a‘lam.
Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Gemini AI
