Euforia Bola 2026
Rakyat

Bukan Sekadar Indonesia, 4 Negara Ini Juga Berhadapan Amukan Rakyat Yang Gegar Dunia!

rusuhan rakyat

Rusuhan rakyat semakin kerap berlaku di beberapa negara, menjadi tanda jelas bahawa suara masyarakat tidak lagi boleh dipandang ringan. Setiap kali ia berlaku, ribuan orang turun ke jalan raya untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap isu yang menekan kehidupan mereka.

Fenomena ini menunjukkan bagaimana tekanan yang dipendam akhirnya meletup menjadi protes besar-besaran. Indonesia mungkin paling dekat dengan kita kerana demonstrasinya pernah mengorbankan nyawa, tetapi sebenarnya banyak lagi negara lain yang turut berdepan situasi sama.

Baca juga: Semua Penumpang Kereta Bakal Wajib Pakai Tali Pinggang Keledar, Tak Pakai Kena Saman Sehingga RM300

4 NEGARA YANG BERHADAPAN LAUTAN RUSUHAN RAKYAT

1. Nepal

rusuhan rakyat

Gambar AFP

Kerajaan Nepal baru-baru ini menyekat akses ke pelbagai media sosial termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp dengan alasan membendung penipuan serta berita palsu. Namun, ramai melihat ia sebagai cubaan menutup mulut rakyat selepas kempen “nepo kid” yang mendedahkan gaya hidup mewah anak ahli politik mula tular.

Kemarahan rakyat, khususnya golongan muda, meletus menjadi protes besar di Kathmandu. Kompleks Parlimen diserbu, ambulans dibakar dan harta awam dimusnahkan. Rusuhan ini mengorbankan 19 orang serta mencederakan lebih 100 orang.

Tentera dikerahkan, perintah berkurung diumumkan, tetapi demonstrasi tetap berlanjutan. Sekatan media sosial akhirnya ditarik balik, namun mesej rakyat jelas: isu sebenar bukan sekadar akses digital, tetapi kekecewaan terhadap rasuah dan penderitaan ekonomi.

2. Perancis

rusuhan rakyat

Gambar AP

Di Perancis, gerakan baharu bernama Block Everything muncul pada 10 September, digerakkan melalui media sosial dengan slogan “boikot, ketidakpatuhan, solidariti”. Hashtag #10septembre dan #10septembre2025 tersebar luas, mengajak rakyat menentang sistem dengan cara berhenti berbelanja, bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Kami takkan bayar lagi, kami takkan berbelanja lagi, kami takkan bekerja lagi, dan kami akan biarkan anak-anak kami di rumah. Satu-satunya kuasa yang kami ada hanyalah boikot semuanya.” kata rakyat yang berprotes.

Protes ini tercetus akibat rancangan Perdana Menteri François Bayrou memotong €43.8 bilion daripada bajet negara termasuk pencen dan kesihatan. Gangguan besar berlaku di lebuh raya, kedai besar diboikot, laluan kereta api terganggu dan puluhan ditahan. Bayrou akhirnya meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan Parlimen.

3. Bangladesh

Bangladesh menyaksikan protes besar akibat dasar kuota kerja kerajaan yang memperuntukkan lebih separuh jawatan perkhidmatan awam kepada kumpulan tertentu. Ramai pelajar mendakwa sistem itu menutup peluang pekerjaan ketika graduan sudah pun berdepan pengangguran tinggi.

Kempen protes bermula Julai 2024 dengan pelajar menutup jalan raya dan landasan kereta api. Keadaan bertukar ganas selepas pertembungan dengan pihak polis, menyebabkan universiti ditutup, internet disekat dan ratusan nyawa terkorban.

Perdana Menteri Sheikh Hasina menjadi sasaran kemarahan kerana mempertahankan sistem kuota itu. Pada Ogos 2024, selepas kediaman rasminya diserbu, beliau akhirnya meletak jawatan dan meninggalkan Bangladesh.

4. Senegal

Krisis di Senegal bermula apabila tokoh pembangkang Ousmane Sonko dipenjara atas tuduhan yang dianggap bermotif politik. Rusuhan besar meletus di Dakar, dengan rakyat menuduh kerajaan pimpinan Presiden Macky Sall cuba mengekalkan kuasa selepas menangguhkan pilihan raya.

Protes berlarutan, internet disekat dan universiti ditutup. Perlawanan sengit berlaku antara rakyat dengan pasukan keselamatan, menjadikan keadaan semakin tidak terkawal sepanjang 2023 hingga 2024.

Akhirnya, Basirou Diomaye Faye dibebaskan dan memenangi pilihan raya pada Mac 2024. Beliau kemudian melantik Sonko sebagai perdana menteri, menandakan perubahan besar dalam politik Senegal.

Kesimpulan

Apa yang berlaku di Nepal, Perancis, Bangladesh, Senegal dan Indonesia membuktikan rusuhan bukan berlaku tanpa sebab. Ia lahir daripada tekanan ekonomi, sistem tidak adil serta kerajaan yang gagal mendengar suara rakyat.

Apabila suara mereka diketepikan terlalu lama, rakyat akan mencari jalan sendiri untuk menuntut hak, meskipun terpaksa turun ke jalan raya.

Sumber: Lobak Merah

FT Image: AP / Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×