Ronald McDonald House Charities RMHC Malaysia meneruskan komitmennya membantu kanak-kanak yang memerlukan rawatan perubatan kritikal dengan menyalurkan geran perubatan tambahan berjumlah RM480,000 kepada enam organisasi kebajikan hospital di seluruh negara.
Baca juga: Jangan Cepat Melenting Bila Anak Nakal, Ustaz Saran Sebaiknya Ibu Ayah Buat Solat Taubat…
RMHC MALAYSIA SALUR RM480,000 UNTUK BANTU RAWATAN KANAK-KANAK

Inisiatif ini bertujuan memastikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan tidak terpaksa menangguhkan rawatan penting hanya kerana kekangan kewangan. RMHC Malaysia menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya berdepan dilema menyayat hati untuk memilih antara nyawa anak dan kos rawatan perubatan.
Enam organisasi kebajikan hospital yang menerima geran berkenaan ialah:
- Yayasan IJN
- Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM (PEKA)
- Tabung Kebajikan Pesakit Hospital TABTAR UKM
- Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah
- PPUMCare
- Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS)
Geran terbaharu ini menyusuli sumbangan RM300,000 yang telah disalurkan oleh RMHC Malaysia kepada enam organisasi yang sama pada September 2025.
Secara keseluruhan, jumlah geran perubatan yang disumbangkan oleh RMHC sejak tahun 2018 kini mencecah lebih RM2.1 juta, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak untuk menerima rawatan yang berpotensi menyelamatkan nyawa.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Nordin berkata, perkataan paling sukar untuk diucapkan oleh ibu bapa ialah apabila mereka terpaksa memberitahu anak bahawa mereka tidak mampu membayar kos rawatan.
“Geran ini sebenarnya merupakan geran tambahan daripada RMHC Malaysia yang diberikan sejak bulan September. Dana ini bertujuan untuk membantu pesakit pediatrik di enam buah organisasi bagi menyegerakan keperluan perubatan atau pembedahan,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa geran perubatan ini adalah satu komitmen berterusan RMHC Malaysia bagi memastikan setiap sumbangan dapat membuka peluang kepada kanak-kanak untuk sembuh, membesar dan menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Dalam masa sama, kerjasama erat dengan hospital dan tabung kebajikan membolehkan ibu bapa memberi tumpuan sepenuhnya untuk berada di sisi anak yang sedang berjuang melawan penyakit.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur, merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan RMHC Malaysia. Beliau menyatakan bahawa kerjasama tersebut melangkaui peranan RMHC sebagai penyedia ‘rumah jauh dari rumah’, apabila ia turut membantu membiayai rawatan jantung kritikal dan pembedahan bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
“Sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah membuka peluang baharu untuk anak-anak menikmati masa depan yang lebih sihat. Kerjasama berterusan antara RMHC dan Yayasan IJN diharapkan dapat memastikan setiap kanak-kanak menerima penjagaan perubatan yang diperlukan,” luahnya.
Bagi penerima manfaat, sokongan RMHC Malaysia memberi makna besar kepada keluarga yang berdepan situasi sukar. Sivabalan A/L Lecthuminadan, bapa kepada Vellvilye Sivabalan yang berusia dua tahun dari Sungai Buloh, berkata geran perubatan RMHC telah membantu meringankan beban kewangan dan emosi keluarganya ketika berdepan ketidakpastian akibat penyakit serius yang dihidapi anaknya.
“RMHC merupakan organisasi yang sentiasa hadir pada saat paling mencabar dalam kehidupan, selain menjadi sumber harapan kepada ramai ibu bapa lain yang melalui pengalaman sama,” ujarnya.
Program Geran Perubatan RMHC Malaysia melengkapi empat inisiatif utama organisasi tersebut iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile serta Program Pek Kembali ke Sekolah.
Sepanjang 35 tahun penubuhannya, RMHC Malaysia kekal komited dalam misinya untuk membangunkan, menambah baik dan menyokong program yang meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan, dengan impak positif kepada ratusan ribu kanak-kanak di seluruh negara.
Baca juga: Ibu Menyusu Di Tempat Awam Dianggap Tak Malu? Tapi Masyarakat Perlu Faham 4 Situasi Ini
