Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) terus komited dalam memperkasakan kebajikan anak yatim melalui pelbagai inisiatif pembangunan kendiri dan sokongan pendidikan sepanjang tahun 2025.
Dalam tempoh ini, YIDE telah memberi perhatian kepada 12,380 anak yatim serta bekerjasama dengan 35 buah rumah kebajikan anak yatim berdaftar di seluruh negeri Selangor.

Bantuan yang diberikan merangkumi keperluan asas, pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan diri, dalam usaha memastikan anak-anak yatim mendapat peluang sama rata untuk masa depan yang lebih cerah.
Program Back To School membantu persediaan anak yatim ke sekolah
Sebagai salah satu usaha menyokong pendidikan anak yatim, YIDE menganjurkan Program Back To School. Program ini memberi manfaat kepada 100 anak yatim dari seluruh negeri Selangor, dengan 10 wakil dari kawasan Taman Medan hadir mewakili kumpulan penerima lain.
Wakil-wakil ini datang daripada tiga masjid setempat iaitu Masjid Nurul Ehsan, Masjid Jumhuriah dan Masjid As-Salam.

Program ini bertujuan meringankan beban kos persiapan persekolahan, memastikan anak-anak yatim memulakan sesi persekolahan 2026 dengan kelengkapan yang mencukupi.
Selain penyampaian pakaian sekolah, majlis turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM25,000 oleh Pn. Noorashikin binti Roslee, Ketua Cawangan Shah Alam Amanah Raya Berhad, kepada En. Muhammad Zubair Bin Azizan, Pengurus Operasi Kebajikan YIDE.
YIDE sebagai pemangkin kebajikan ummah
Program seperti Back To School menunjukkan peranan YIDE sebagai pemangkin kebajikan ummah, memastikan setiap anak yatim di Selangor mendapat perhatian sewajarnya dari aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan kendiri.
Komitmen ini bukan sahaja membantu anak-anak mengatasi cabaran kehidupan, tetapi juga membina asas yang kukuh untuk mereka berkembang menjadi individu berdikari dan berdaya saing.
Kompleks baru di Pulau Indah
Dalam usaha berterusan memperluas impak kebajikan, YIDE kini sedang membina Kompleks Anak-anak Yatim di Pulau Indah, Klang, Selangor.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pembangunan kompleks ini boleh menyalurkan sumbangan ke Maybank 5621 0686 6637.
Dengan sokongan komuniti, YIDE berupaya menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa untuk anak-anak yatim, sekali gus memperkukuh agenda pendidikan dan pembangunan kendiri mereka.

