Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan komitmen membantu pelajar dan keluarga dengan melaksanakan inisiatif Bantuan Awal Persekolahan 2025.
Bermula hari semalam (4 Ogos 2025) , pelajar Tingkatan Enam baharu akan menerima bantuan tunai sebanyak RM150 seorang!
Baca juga: Bantuan Awal Persekolahan 2025 (BAP) Diteruskan, Ini Tarikh & Cara Semak Untuk Dapat RM150
BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2025, PELAJAR TINGKATAN 6 PUN DAPAT RM150

Foto: Sinar Bestari
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu bahawa agihan bantuan akan dilakukan secara serahan tunai dalam satu sesi pertemuan khas antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga. Sesi ini akan diatur pihak sekolah bagi memastikan penyaluran bantuan berlangsung lancar dan teratur.
“Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak dapat hadir, pihak sekolah dibenarkan menyerahkan bantuan kepada pelajar dengan syarat mendapat surat kebenaran bertulis,” jelas Fadhlina dalam sidang media.
Semalam juga berlangsung majlis penyerahan rasmi di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di mana Fadhlina merasmikan agihan kepada murid Tingkatan Enam Semester Satu.
Lebih RM7.9 Juta Diperuntuk untuk 53,000 Pelajar

Fadhlina Sidek (kiri) menyampaikan BAP kepada salah seorang pelajar Tingkatan Enam pada satu majlis di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di Kota Bharu- AWANI
Fadhlina turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7,958,250 bagi membantu 53,055 pelajar Tingkatan Enam baharu di seluruh negara. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan.
Apa yang menarik, tahun ini merupakan kali pertama pelajar Tingkatan Enam menerima manfaat di bawah inisiatif BAP. Secara keseluruhan, program ini dijangka melibatkan kos RM15 juta, dengan lebih 100,000 pelajar menerima manfaat di peringkat nasional.
Tambah Fadhlina, pelaksanaan BAP ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Madani untuk mengangkat Tingkatan Enam sebagai laluan pendidikan yang signifikan dalam sistem negara.
“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, malah ia mencerminkan tekad kerajaan untuk memperkukuh laluan pendidikan Tingkatan Enam dan mengurangkan tekanan kos sara hidup keluarga, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Jadi, pelajar dan ibu bapa tunggu pihak sekolah adakan sesi pemberian bantuan ini nanti ya!
Baca juga: 7 Kelebihan Tingkatan 6 Yang Boleh Jadi Jalan Pintas Masuk Universiti, Jangan Pandang ‘Rendah’!
Sumber: AWANI
