Menerusi Facebook rasmi milik Public Health Malaysia (PHM), penggunaan meja berdiri semakin popular kerana dijadikan alternatif kepada duduk terlalu lama di pejabat.
Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa penggunaan meja berdiri tidak dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok seperti yang disangka.
Baca juga: Jangan Panik Bila Didiagnos Ada Kanser Payudara, Tanya Dulu 6 Soalan Ini Pada Doktor…
MEJA BERDIRI TAK KURANGKAN RISIKO STROK & KEGAGALAN JANTUNG

Menurut PHM, penggunaan meja berdiri itu boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan lain seperti urat bersimpul (varicose veins) dan darah beku di bahagian kaki.
“Menurut kajian yang diketuai oleh Universiti Sydney, orang yang berdiri lebih dari dua jam sehari berisiko tinggi mengalami masalah peredaran darah seperti trombosis vena dalam (deep vein thrombosis).
“Penyelidikan yang melibatkan lebih 80,000 orang dewasa ini mendapati bahawa bagi setiap tambahan 30 minit berdiri selepas dua jam, risiko untuk penyakit peredaran darah meningkat sebanyak 11%,” jelasnya.
Selain itu, menurut Dr. Matthew Ahmadi dari fakulti perubatan dan kesihatan Universiti Sydney, beliau menjelaskan bahawa berdiri lebih lama tidak akan menggantikan gaya hidup dan boleh mendatangkan bahaya kepada sesetengah individu.
“Kami mendapati bahawa berdiri lebih banyak tidak memperbaiki kesihatan kardiovaskular dalam jangka panjang tetapi boleh meningkatkan risiko masalah peredaran darah,” katanya.
Profesor Emmanuel Stamatakis pula mencadangkan agar mereka yang duduk terlalu lama perlu melakukan pergerakan berkala sepanjang hari dan senaman yang teratur untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Gunakan waktu makan tengah hari anda untuk bergerak atau melakukan sebarang aktiviti.
Kesimpulannya, dengan hanya berdiri tidak mencukupi untuk mengurangkan risiko penyakit jantung atau strok. Pergerakan adalah kunci kepada kesihatan jangka panjang.
Bagi mereka yang bekerja di meja atau dalam posisi berdiri untuk tempoh lama, pastikan mencari masa untuk bergerak dan menjaga kesihatan peredaran darah.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: BAHAYA Pijak Batu Refleksologi Di Taman Kalau Tak Tahu Cara, Jangan Tersilap Langkah!
Sumber: Facebook Public Health Malaysia
