Euforia Bola 2026
Dapur

Resipi Sup Kicap ‘Signature Dish’ Orang Pekan, Setiap Kenduri Mesti Ada Lauk Legend Ini!

sup kicap

Sup kicap bukan sekadar hidangan biasa bagi masyarakat Pekan, Pahang, malah ia dianggap signature dish yang hampir wajib ada setiap kali kenduri atau majlis keramaian.

Perkongsian resipi oleh Echot Aisyah Meor Zahid di Facebook kembali mencuri perhatian ramai apabila dia berkongsi cara penyediaan sup kicap legend yang sering dinantikan setiap kali majlis berlangsung.

Baca juga: Telur Rebus Pun Boleh ‘Expired’? Pakar Kongsi Tempoh Selamat Simpan Telur Rebus Dalam Peti Sejuk

sup kicap

Gambar: Echot Aisyah Meor Zahid

Menurutnya, selain Laksa Pahang, sup kicap antara lauk paling ‘laku keras’ kerana kuahnya yang pekat, berempah, sedikit pedas dan ada rasa manis seimbang hasil gabungan kicap masin serta gula melaka.

Menariknya, resipi ini menggunakan bahan ringkas tetapi teknik penyediaan yang betul menjadi kunci utama untuk menghasilkan sup kicap yang benar-benar menaikkan selera.

Bahan A (tumis):

  • Rempah tumis 4 sekawan
  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 1 sudu kecil ketumbar

Bahan B (kisar):

  • 5 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar
  • 2 inci halia
  • 2 sudu kecil lada kisar

Baca juga: Ini Cara Bawa Durian Tanpa Bau Walaupun Travel Jauh, Tips Dalam Kapal Terbang Pun Ada!

sup kicap

Gambar: Echot Aisyah Meor Zahid

Bahan lain:

  • Daging atau tulang (ikut citarasa)
  • 1 biji bawang besar (dipotong empat)
  • Ubi kentang (pilihan)
  • Lada kecil (pilihan, untuk rasa lebih pedas)
  • Kicap masin secukupnya (ikut warna dan rasa)
  • Sedikit gula melaka

Cara penyediaan:

  1. Tumis semua Bahan A sehingga naik bau, kemudian masukkan Bahan B kisar. Masak hingga garing dan pecah minyak.
  2. Masukkan air secukupnya dan biarkan kuah menggelegak terlebih dahulu sebelum dimasukkan daging atau tulang. Langkah ini penting untuk mematikan darah daging. Masukkan kicap masin dan sedikit gula melaka. Masak hingga daging atau tulang empuk.
  3. Setelah daging empuk, masukkan ubi kentang. Apabila hampir menutup api, masukkan bawang besar. Rasa kuah sepatutnya masin, sedikit pedas dan ada rasa manis ringan. Jika lada kisar kurang pedas, boleh ketuk lada kecil dan masukkan ke dalam kuah.
  4. Sebelum dihidang, taburkan bawang goreng, daun sup dan daun bawang. Perah sedikit limau nipis untuk menaikkan aroma dan rasa.

Sup kicap ini paling sedap dinikmati panas-panas bersama nasi putih atau roti.

Baca juga: Bahan Dapur Yang Ada Tunas, Lendir Atau Kering Boleh Ke Dimasak? Baca Ini Dulu Sebelum Nak Buang!

Sumber: Echot Aisyah Meor Zahid

Ft Images: Echot Aisyah Meor Zahid

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×