Euforia Bola 2026
Dapur

Wanita Kongsi Versi ‘Rajin’ Garam Kunyit Guna Bahan Segar Buat Aroma & Rasa Lebih Kuat, 2 Bulan Pun Masih Elok!

garam kunyit

Kalau sebut tentang garam kunyit, ramai yang terus terbayang aroma harum ayam goreng kunyit, ikan kembung garing atau daging berlada. Tapi kali ini, perkongsian daripada Suhaili Mohd Zain menarik perhatian ramai kerana versinya bukan biasa-biasa sebab sekali buat boleh tahan sampai dua bulan!

“Nak goreng ayam, ikan atau daging kunyit, sap sap suiii terus siap. Kerja sekali, guna berkali-kali. Jimat masa di dapur, senyum pun lebih lebar,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca juga: Resipi Viral Egg Tart Mixue, Cuma Guna 4 Bahan Saja Memang Lain Macam Sedap Dia!

GARAM KUNYIT CAMPURAN LENGKUAS, RASA LEBIH PADU!

garam kunyit

Gambar Suhaili Mohd Zain.

Menurut Suhaili, rahsia garam kunyit versi padu ini adalah pada bahan-bahannya yang lengkap. Bukan sekadar garam dan kunyit serbuk semata-mata, tapi gabungan bahan segar yang menjadikan aroma dan rasanya lebih kuat.

Antara bahan penting yang perlu ada:

  • Bawang putih
  • Serai
  • Halia
  • Kunyit hidup

Kalau nak lagi wangi dan berempah, boleh tambah sedikit lengkuas. Katanya, dengan tambahan itu, gorengan bukan saja berbau harum tapi juga ada rasa “berserdak berjerami”.

“Kalau yang jenis nak cepat, cukup lumur garam dan kunyit serbuk saja. Bibik selalu buat begitu kalau garam kunyit habis. Tapi saya tak boleh, kena lengkap. Rasa dia lain, tak kosong guys,” jelasnya.

Soal penyediaan pula, tak susah langsung. Katanya, kalau guna Thermomix, tak sampai 10 saat pun siap. Tapi kalau guna pengisar biasa, pilih pengisar kering yang botol pendek itu supaya lebih halus kisarannya.

“Kalau rasa terlalu pekat, titis sikit minyak. Selesai!” ujarnya lagi.

Baca juga: Cara Buat Acar Rampai Paling Mudah & Rangup, Sebiji Rasanya Macam Lauk Kenduri Kahwin!

garam kunyit

Gambar Suhaili Mohd Zain.

Menariknya, Suhaili turut mengimbau pesanan lama daripada ibunya yang selalu kaitkan tangan dan kuku kuning dengan tanda rajin di dapur.

“Dulu orang kata, kalau perempuan tangan kuning, kuku kuning itu tanda rajin di dapur. Habis kuning sebab garam kunyit ikan,” katanya.

Namun menurutnya, zaman sekarang lain wanita masih rajin memasak, tapi dalam masa sama pandai menjaga kecantikan.

“Kita pun rajin dekat dapur, cuma rajin jaga kuku juga. Sarung tangan plastik wajib sebab baru lepas manicure pedicure. Jadi, jangan ingat orang kuku berkilat itu malas. Dia cuma pandai seimbangkan…rajin di dapur, rajin jaga kecantikan juga,” selorohnya.

Dengan resipi garam kunyit versi rajin ini, kerja memasak jadi lebih mudah, bersih dan cepat. Cukup satu bekas tahan berbulan dan setiap kali goreng, hasilnya tetap harum, padu dan berempah!

Baca juga: Mak-Mak Dulu Rajin Rendam Beras Sebelum Masak, Rupanya Bukan Petua Kosong Ada Sebab Sains!

Sumber: Suhaili Mohd Zain

FT Image: Suhaili Mohd Zain

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×