Resipi cendol anti gagal ini memang sesuai untuk sesiapa sahaja yang baru belajar membuat pencuci mulut tradisional kegemaran ramai. Ia sangat ringkas untuk dibuat yang hanya menggunakan acuan piping bag.
Jadi, anda tak perlu risau tentang alatan khas yang biasanya digunakan untuk menghasilkan cendol. Teksturnya tetap kenyal, beraroma pandan dan pastinya menyegarkan bila dicampur dengan santan pekat serta air gula melaka.
RESIPI CENDOL ANTI GAGAL, TAK MUDAH PATAH & TAHAN LAMA!

Gambar Cik Puan Hana
Cendol anti gagal oleh Cik Puan Hana ini juga menggunakan bahan-bahan asas mudah didapati di dapur yang hasilnya menjadi cendol yang licin, tidak mudah patah, serta lebih tahan lama.
Rahsianya terletak pada cara memasak adunan dengan sabar sebelum dipaipkan ke dalam air ais, menjadikan cendol ini lembut dan sempurna untuk dihidangkan bersama jagung berkrim atau bahan kegemaran lain.
Bahan-bahan:
- 500ml air daun pandan (8 helai daun pandan dicuci bersih dan dikisar)
- 60g tepung beras
- 40g tepung ubi kayu
- 1 paket nutrijell tanpa perisa
- 1 sudu besar gula
- 1/2 sudu kecil garam
- Sedikit pewarna hijau
Bahan-bahan lain:
- Air gula melaka secukupnya
- Santan pekat secukupnya
- Jagung berkrim secukupnya

Gambar Cik Puan Hana
Cara-cara buat cendol:
- Masukkan kesemua bahan-bahan (kecuali pewarna) ke dalam periuk dan kacau sampai semua larut serta sebati.
- Tambahkan sedikit pewarna hijau dan kacau sebati.
- Apabila semuanya dah sebati, bolehlah masak dengan api sederhana.
- Bila dah mula pekat, kecilkan api dan kacau terus tanpa ditinggalkan.
- Kemudian, tutup api apabila adunan dah kelihatan licin dan meletup-letup kerana ia dah masak.
- Dalam bekas besar sediakan air sejuk yang bercampur ais batu.
- Bila adunan cendol dah masak, masukkan ke dalam piping bag dan gunting di hujungnya.
- Paipkan adunan cendol ke dalam bekas berisi air ais tadi.
- Hati-hati semasa piping kerana adunannya masih panas.
Hidangkan cendol menyegarkan ini bersama bahan-bahan lain dan ia sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba!
Baca juga: Resipi Ikan Masak Kicap Istimewa Campur Rempah, Tak Menyesal Cuba Aromanya Pasti Buat Terliur!
Sumber: Cik Puan Hana
FT Image: Cik Puan Hana
