Euforia Bola 2026
Dapur

Permaisuri Pahang Kongsi Cara Buat Singgang Ikan Bilis, Guna Kuali ‘Legend’ Macam Ini Lebih Sedap!

SINGGANG IKAN BILIS

Permaisuri Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila berkongsi resipi ringkas singgang ikan bilis di laman media sosial miliknya.

Walaupun nampak sederhana, lauk kampung ini cukup membuka selera dengan gabungan rasa masam, pedas dan aroma ikan bilis yang menaikkan selera makan.

Baca juga: Hampir 200 Pelajar Keracunan Makanan, Muntah & Pening Selepas Jamah Hidangan Percuma!

SINGGANG IKAN BILIS RESEPI TUANKU PERMAISURI PAHANG

SINGGANG IKAN BILIS

Lebih menarik, resipi ini hanya menggunakan bahan-bahan asas yang kebanyakannya memang sudah ada di dapur.

Menurut baginda, rahsia utama kesedapan singgang ini terletak pada penggunaan minyak bekas goreng ikan bilis yang memberikan aroma lebih wangi dan rasa lebih ‘umami’ pada kuah.

Bahan-bahan:

  • 2 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 cawan ikan bilis goreng
  • 10 hingga 15 biji cili padi
  • 2 hingga 3 sudu besar minyak bekas goreng ikan bilis
  • 2 hingga 3 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • 2 hingga 3 sudu besar asam jawa atau pes asam

Cara-cara penyediaan:

1. Panaskan minyak bekas goreng ikan bilis di dalam kuali.

2. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau dan sedikit layu.

3. Masukkan cili padi, kemudian tumis seketika bagi menaikkan aroma pedas.

4. Tuang air mengikut kepekatan kuah yang disukai dan masukkan asam jawa atau pes asam.

5. Kacau sehingga sebati dan biarkan kuah mendidih beberapa minit.

6. Perasakan mengikut citarasa. Jika suka lebih masam, boleh tambah sedikit lagi asam.

7. Masukkan ikan bilis goreng ke dalam kuah.

8. Reneh seketika supaya semua rasa lebih sebati.

9. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas.

SINGGANG IKAN BILIS

Menurut perkongsian baginda, penggunaan minyak lebihan menggoreng ikan bilis menjadi antara ‘kunci’ utama yang membuatkan kuah singgang lebih sedap dan berlemak.

Selain itu, baginda turut berkongsi bahawa kadangkala baginda menggunakan pes asam dari Filipina untuk menghasilkan rasa masam yang sedikit berbeza dan lebih unik. Namun, asam jawa biasa juga sudah memadai untuk mendapatkan rasa kuah yang enak.

Antara tip ringkas yang turut dikongsikan:

– Tidak perlu tambah terlalu banyak garam jika ikan bilis sudah masin.

– Lebihkan bawang besar untuk rasa manis semula jadi dalam kuah.

– Cili padi boleh dibiarkan sebiji tanpa dipotong supaya rasa pedas lebih seimbang.

Walaupun hanya lauk kampung yang ringkas, singgang ikan bilis ini membuktikan hidangan sederhana juga mampu jadi pembuka selera yang cukup menyenangkan, lebih-lebih lagi dimakan ketika panas bersama nasi putih.

Baca juga: “Layan Macam Anak Sendiri”- Bukan Sekadar Pengasuh, Setiap Hari Wanita Ini Masak Menu Sedap Sedap Untuk Anak Asuhan

Sumber: Instagram Air Tangan Tengku Ampuan Pahang

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×