Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas dikesan memandu kereta tanpa lesen dan enggan berhenti walaupun diarahkan anggota polis dalam insiden di Jalan Bandar Baru, Kuala Terengganu pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail menjelaskan, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang ketika dua anggota Unit Rondaan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menjalankan rondaan.
Baca juga: Tular Pengantin Teruskan Nikah Di Hospital Kerana Kemalangan, Momen Penuh Sebak Raih Doa Netizen
TANPA LESEN PANDU KERETA, REMAJA 16 TAHUN DITAHAN

“Ketika melalui kawasan tersebut, anggota ternampak sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota peronda kemudian menghampiri dan memberi isyarat berhenti untuk membuat pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kereta berkenaan terus dikejar polis dengan beberapa kali diberikan arahan berhenti melalui pembesar suara, namun remaja itu tetap tidak mengendahkannya.
“Suspek turut memandu secara berbahaya termasuk menghimpit kereta peronda sehingga hampir melanggar kenderaan anggota bertugas.
“Bagi tujuan keselamatan, salah seorang anggota terpaksa mengeluarkan senjata api jenis HK MP5 sebagai amaran keras sebelum suspek akhirnya memperlahankan kenderaan dan berhenti,” jelasnya.
Siasatan lanjut mendapati pemandu terbabit merupakan seorang pelajar sekolah menengah dan tidak memiliki lesen memandu.
“Suspek dipercayai menggunakan kereta milik abangnya tanpa kebenaran. Pemeriksaan badan dan kenderaan mendapati tiada sebarang barang larangan ditemui.
“Polis kemudian menghubungi keluarganya sebelum bapanya hadir ke lokasi kejadian, dan suspek dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Wan Mohd Zaki, saman telah dikeluarkan atas kesalahan memandu tanpa lesen, selain amaran diberikan agar kejadian sebegini tidak berulang.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Polis ingin menegaskan tindakan memandu tanpa lesen dan cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa adalah kesalahan serius yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” tegasnya.
Beliau turut berpesan agar ibu bapa lebih berwaspada terhadap pergerakan anak-anak dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk membuat spekulasi, kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, video berdurasi 24 saat memaparkan adegan kejar-mengejar antara kereta polis dengan kenderaan dipandu remaja tersebut tular di media sosial hingga mencetuskan pelbagai spekulasi warga maya.
@malaysiagazette Padah Memandu Kereta Tanpa Lesen, Remaja 16 Tahun Ditahan MGFlash Padah membawa kereta tanpa lesen dan melarikan diri ketika diminta berhenti, seorang remaja 16 tahun ditahan dalam kejadian di Jalan Bandar Baru, Kuala Nerus, Terengganu pada Isnin. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, suspek dikesan memandu sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan. malaysiagazette
Baca juga: Ibu Bapa Buntu Persekolahan Anak Mangsa Buli Ditamatkan, Pembuli Pula Tak Dikenakan Tindakan!
Sumber: Sinar Harian
