Seorang remaja lelaki maut dan kepala putus dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan van di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.36 petang itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Wah Han Keong, 18, yang merupakan penumpang hadapan van jenis Nissan Vanette.
Baca juga: Hampir 200 Pelajar Keracunan Makanan, Muntah & Pening Selepas Jamah Hidangan Percuma!
REMAJA MAUT KEPALA PUTUS AKIBAT KEMALANGAN

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, kereta jenis Volkswagen Golf GTI yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dipercayai bergerak dari arah Kuala Terengganu menuju ke Muzium Losong.
Sementara itu, van Nissan Vanette dipandu lelaki berusia 49 tahun pula datang dari arah Taman Manir menuju ke bandar Kuala Terengganu sebelum kedua-dua kenderaan terbabit dalam kemalangan.
Lebih menyayat hati, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Norharizan Hassan turut berkongsi suasana pilu ketika menenangkan bapa mangsa di lokasi kejadian.
Menurut perkongsian tersebut, mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik dan digambarkan sebagai pelajar cemerlang yang dijadualkan melanjutkan pengajian ke universiti pada Jun 2026.
Difahamkan, mangsa juga bekerja sambilan bagi membantu keluarga sementara menunggu kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
“Tadi masa tenangkan ayah mangsa sambil bersembang untuk redakan kegusaran ayahnya. Dia bercerita mangsa adalah anak sulung dan mempunyi seorang adik perempuan. Mangsa merupakan pelajar cemerlang dan akan masuk ke U pada bulan Jun tahun ini,” tulisnya.

Perkongsian itu turut menggambarkan ketabahan si bapa yang cuba mengawal emosi walaupun sedang berdepan kehilangan besar dalam hidupnya.
Dalam masa sama, individu berkenaan turut meluahkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya di kawasan Losong yang didakwa memandu laju walaupun berhampiran kawasan sekolah.
Katanya, had laju di kawasan itu sepatutnya sekitar 30km/j memandangkan terdapat sekolah rendah dan laluan yang sering digunakan penduduk setempat.
Dia turut berharap tragedi tersebut dijadikan pengajaran buat semua agar lebih berhati-hati ketika memandu demi keselamatan pengguna jalan raya lain.
Insiden itu mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap semua pengguna jalan raya lebih berhemah ketika memandu.
Sumber: Berita Harian & Norharizan Hassan
