Sejak kebelakangan ini, kisah remaja disleksia yang menjual air tembikai dengan konsep “bayar seikhlas hati” menjadi tular di media sosial dan menyentuh hati ramai.
Usaha murni seorang anak muda bersama keluarganya itu bukan sahaja membuka mata masyarakat, malah membuktikan bahawa kekangan bukan penghalang untuk terus berdikari.
REMAJA DISLEKSIA JUAL AIR TEMBIKAI, “BAYAR SEIKHLAS HATI”

Gambar Berita Harian: Remaja disleksia, Muhammad Zufar berniaga air tembikai guna kaedah bayaran seikhlas hati kerana dia tak tahu nak pulangkan duit baki.
Remaja berkenaan, Muhammad Zufar Azman, 17 tahun, kini menetap di Pasir Gudang, Johor bersama keluarganya. Sejak awal tahun ini, dia dibantu oleh adik-beradiknya untuk mengusahakan gerai air tembikai di tepi jalan berhampiran kediaman mereka.
“Seronok bila orang datang beli air tembikai saya,” kata Zufar dengan penuh teruja apabila ditanya mengenai perniagaan kecil yang diusahakannya itu.
Konsep bayar seikhlas hati diperkenalkan kerana kekangan membaca dan mengira
Menurut kakaknya, Haziqah Azman, konsep bayaran seikhlas hati itu bukan sekadar idea unik, tetapi lahir daripada keperluan untuk melindungi adiknya yang mempunyai kesukaran membaca dan mengira.
“Mulanya, dia dilahirkan tak cukup bulan dan kecil. Sepanjang adik membesar, kami lihat perkembangannya nampak normal. Namun selepas hantar ke sekolah, guru mula panggil ibu dan ayah sebaik ciri-ciri penyakit itu ditonjolkan.”
“Sekarang dia hampir tamat persekolahan, jadi ini satu inisiatif kami bantu Zufar sebagai kerjaya masa depan,” jelas wanita berusia 27 tahun itu.
Tambah Haziqah, adiknya tidak mahir mengira baki wang ketika berniaga dan mereka bimbang jika dia terdedah kepada risiko ditipu oleh pelanggan.
“Adik saya tidak pandai pulangkan baki sewaktu berniaga, jadi kami tidak mahu dia ditipu ketika diberi wang bernot besar. Kami tidak mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya menganggap ini sebagai rezeki untuk adik saya yang istimewa,” katanya lagi.
Walaupun ada pelanggan yang hanya membayar serendah 10 sen atau 50 sen, keluarga mereka tetap menerima dengan hati terbuka dan memberikan air tembikai seperti biasa.
Baca juga: “Ayah Nyawa Ina…”- Wanita Ini Nekad Berhenti Kerja & Jual Sambal, Demi Jaga Ayah Angkat Uzur

Tangkap layar dari TikTok @zufar.azman
Jualan boleh cecah 100 cawan sehari, niat berniaga sambil bersedekah
Menurut keluarga, gerai air tembikai tersebut mampu menjual sekitar 50 cawan sehari dalam keadaan biasa. Namun ketika bulan puasa atau waktu ramai orang lalu-lalang, jumlah jualan boleh meningkat sehingga hampir 100 cawan sehari.
“Kalau hari persekolahan, ramailah sebab orang lalu-lalang semasa pulang dari sekolah. Waktu puasa pula, jualan kami hampir mencecah 100 cawan sehari,” kata Haziqah.
Menariknya, mereka tidak melihat hari tanpa pelanggan sebagai kerugian. Sebaliknya, lebihan air akan diagihkan kepada orang lain sebagai sedekah.
“Bila hujan dan tiada pelanggan datang, kami tidak melihatnya sebagai kerugian. Sebaliknya, kami akan pergi ke masjid untuk menghantar air dan bersedekah lagi,” ujarnya.
Impian sederhana, mahu jaga ibu dan ayah
Walaupun berdepan pelbagai cabaran kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah obesiti, Zufar tetap bersemangat menjalani kehidupan seharian. Dia juga kini berada di bawah pemantauan perubatan dan perlu mengambil ubat secara berkala.
Apabila ditanya mengenai impian masa depannya, jawapan remaja itu cukup menyentuh hati ramai.
Fokus utamanya bukanlah kekayaan atau kejayaan besar, sebaliknya sesuatu yang sangat sederhana iaitu menjaga kedua ibu bapanya.
Sejak kisahnya tular di TikTok, ramai individu tampil menghulurkan sumbangan dan sokongan sebagai tanda solidariti. Malah, rakan-rakan sekolahnya juga mula mengetahui tentang gerai tersebut dan memberi semangat kepadanya untuk terus berniaga.
Harapan Haziqah hanya satu, agar Zufar dapat berdikari dan meneruskan perniagaan berkenaan tanpa perlu sentiasa bergantung kepada bantuan abang atau kakaknya pada masa hadapan.
@zufar.azmanSaya iklas kakak, abang 🤗
Sumber: Berita Harian / TikTok @zufar.azman
FT Image: TikTok @zufar.azman
