Ramai menganggap sakit kepala hanyalah masalah biasa, namun dalam sesetengah kes, ia boleh menjadi petanda kepada kondisi serius seperti salur darah bengkak di otak yang berisiko pecah dan mengancam nyawa.
Inilah yang berlaku kepada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun apabila simptom yang dialami rupanya membawa kepada situasi kecemasan yang tidak dijangka.
Baca juga: Gaya Kemas Rumah Rupanya Ikut Personaliti Jenis Darah? Golongan Darah A Dikatakan Paling ‘On Point’!
SALUR DARAH BENGKAK, PPUM BERJAYA SELAMATKAN NYAWA

Menerusi perkongsian oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya, remaja tersebut yang juga penghidap talasemia mengalami sakit kepala berpanjangan selama dua minggu. Keadaan itu turut disertai gejala lain seperti loya, muntah serta sensitiviti tinggi terhadap cahaya atau fotofobia.
Pada mulanya, simptom yang dialami mungkin disangka sebagai migrain biasa. Namun hakikatnya, ia adalah isyarat awal kepada masalah kesihatan yang jauh lebih serius.
Keadaan menjadi cemas apabila remaja itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan untuk rawatan segera.
Hasil imbasan CT mendedahkan punca sebenar iaitu terdapat aneurysm pada salah satu salur darah di otak yang telah pecah, sekali gus menyebabkan pendarahan subaraknoid, iaitu keadaan yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan pantas.
Pasukan pakar dari bidang Neurointerventional Radiology dan Endovascular Neurosurgery segera bertindak bagi mengawal keadaan. Dengan kemajuan teknologi perubatan masa kini, rawatan dapat dilakukan tanpa perlu melalui pembedahan terbuka pada tengkorak.

Melalui prosedur minimal invasif yang dikenali sebagai endovascular coiling, pakar berjaya menutup kebocoran pada salur darah tersebut dengan berkesan.
Alhamdulillah, rawatan berjalan lancar dan kini remaja tersebut berada dalam keadaan stabil serta menunjukkan perkembangan pemulihan yang amat memberangsangkan.
Pihak hospital turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan pelbagai disiplin yang terlibat, termasuk kepakaran dalam radiologi neurointervensi, endovaskular, neurosurgeri dan anestesiologi atas komitmen tinggi dalam memastikan kejayaan rawatan ini.
Kisah ini menjadi peringatan penting kepada semua agar tidak mengambil ringan simptom seperti sakit kepala berpanjangan, kerana ia mungkin petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius.
Baca juga: Ilmu ‘Survival’ Kampung, Ini Cara Buat & Guna Minyak Serai Rawat Haiwan Cedera Teruk…Berkesan!
