Isu penggunaan produk alternatif untuk rawat bayi sembelit kembali menjadi perhatian apabila tular perkongsian mengenai ‘patch’ yang didakwa membantu bayi membuang dengan mudah hanya dengan tampalan pada kulit.
Susulan itu, seorang doktor dikenali sebagai Dr Deenish tampil memberikan teguran dan penjelasan penting berhubung keselamatan penggunaan produk tersebut.
Baca juga: Termometer Merkuri Pecah TAK BOLEH Sapu Atau Vakum, Risiko Racun Kanser Boleh Tersebar!
RAWAT BAYI SEMBELIT GUNA PATCH, DOKTOR TEGUR TINDAKAN INI

Menurut beliau, walaupun niat ibu bapa adalah untuk membantu anak yang mengalami kesukaran membuang air besar, penggunaan patch sebegitu tidak seharusnya dijadikan rawatan pertama, apatah lagi tanpa rujukan pakar perubatan.
Jelasnya, terdapat beberapa fakta saintifik yang perlu diambil kira sebelum menggunakan produk seperti ini, terutama melibatkan bayi yang masih kecil dan sensitif.
Pertama, kulit bayi adalah kira-kira lima kali lebih nipis berbanding orang dewasa. Ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko penyerapan bahan yang tidak diketahui tahap keselamatannya.
Antara kandungan yang sering terdapat dalam patch tersebut termasuk herba seperti Angelica sinensis, safflower dan cistanche, yang sehingga kini belum diuji dari segi keselamatan atau keberkesanannya pada kulit bayi.
Kedua, kajian berkaitan bahan-bahan ini kebanyakannya melibatkan pengambilan secara oral, iaitu melalui makanan atau minuman. Tiada bukti saintifik kukuh yang menunjukkan bahan tersebut boleh diserap melalui kulit dan memberi kesan kepada sistem penghadaman bayi.

Freepik
Dalam masa sama, badan kesihatan antarabangsa dan tempatan turut memberikan garis panduan jelas. American Academy of Pediatrics dan Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan bahawa masalah sembelit bagi bayi berusia bawah enam bulan perlu dirujuk kepada doktor dan tidak dirawat sendiri.
Ini kerana sembelit pada bayi boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti Hirschsprung’s disease, Hypothyroidism atau alahan terhadap susu formula.
Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam memilih kaedah rawatan bagi bayi, terutamanya apabila melibatkan produk yang tidak mempunyai bukti klinikal yang jelas. Keutamaan harus diberikan kepada keselamatan dan nasihat pakar agar sebarang risiko dapat dielakkan.
Sumber: Threads Dr Deenish
