Dari Malaysia ke persada dunia, ranking Universiti Malaya (UM) terus mengukir nama apabila melonjak ke tangga ke-58 dalam QS World University Rankings 2026.
Ini bukan sahaja satu kejayaan akademik, malah menjadi simbol usaha berterusan dalam membina masa depan pendidikan tinggi negara yang bertaraf antarabangsa.
Baca juga: Bas, Penghadang Jalan & Mesej ‘Mati’, Tiga Lukisan Arwah Mustaqim Sebelum Tragedi Seolah Petanda
RANKING UNIVERSITI MALAYA DI TEMPAT KE-58 DUNIA

Berita gembira ini dikongsi sendiri oleh Universiti Malaya menerusi laman Facebook rasmi milik mereka, yang mengumumkan pencapaian cemerlang UM apabila berjaya melonjak ke tangga ke-58 dunia dalam QS World University Rankings 2026.
Itu merupakan kedudukan tertinggi pernah dicapai dalam sejarah penubuhan universiti tersebut. Pengumuman itu turut disertai dengan ucapan penghargaan kepada seluruh warga universiti yang telah bersama-sama menyumbang kepada kejayaan gemilang ini.
Pada tahun 2023, ranking Universiti Malaya berada di tangga ke 70, tahun 2024 berganjak kepada tangga 65 dan pada tahun 2025, berada di tangga 60.
“Pertama kali dalam sejarahnya, Universiti Malaya (UM) dengan penuh bangga menduduki tempat ke-58 dunia, menandakan satu pencapaian bersejarah dalam QS World University Rankings 2026, kedudukan tertinggi yang pernah diraih oleh UM.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka semata-mata, tetapi merupakan hasil daripada komitmen tanpa henti, reformasi strategik, serta usaha kolektif seluruh komuniti UM, ahli akademik, penyelidik, pelajar dan staf. Bersama-sama, kita membina masa depan yang berasaskan kecemerlangan, integriti dan impak global.

“UM kini mendahului negara dalam 5 daripada 9 indikator utama QS iaitu: Reputasi Akademik dan Majikan, Hasil Pekerjaan, Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa, serta Kelestarian.
“Naib Canselor, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, mendedikasikan kejayaan ini kepada semua yang menjayakannya, sambil menegaskan kembali misi UM untuk memacu perubahan positif demi negara dan kemanusiaan. Ini baru permulaan dan belum sampai kemuncak,” jelasnya.
Ranking Universiti Malaya ini menjadi lambang pencapaian anak bangsa dan bukti bahawa institusi tempatan mampu mencapai taraf antarabangsa.
Ia juga menjadi motivasi untuk terus memperkasa pendidikan tinggi Malaysia agar terus cemerlang dan relevan di mata dunia.
Sumber: Universiti Malaya
