Hilang kerja bukan lagi isu terpencil apabila seramai 38,953 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, dengan majoritinya membabitkan golongan berusia 25 hingga 39 tahun.
Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan ramai, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan peluang pekerjaan dilihat semakin mencabar.
GOLONGAN USIA 25-39 TAHUN PALING TERJEJAS HILANG KERJA

Gambar hiasan: Gemini AI
Menurut laporan New Straits Times, sebanyak 38,953 kes kehilangan pekerjaan direkodkan setakat lima bulan pertama tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata, majoriti kes melibatkan pekerja berusia antara 25 hingga 39 tahun. Beliau memaklumkan bahawa trend ini banyak dipengaruhi oleh proses penyusunan semula organisasi dan perubahan operasi syarikat mengikut keadaan ekonomi semasa.
Kehilangan pekerjaan ini banyak membabitkan beberapa sektor utama termasuk:
- Pembuatan (manufacturing)
- Perdagangan borong dan runcit
- Pembaikan kenderaan motor
- Perkhidmatan pentadbiran dan sokongan
Ini menunjukkan tekanan ekonomi bukan hanya berlaku pada satu industri, malah melibatkan banyak sektor pekerjaan utama negara.
Kenapa ramai hilang kerja?
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Dr Chin Chee Seong menjelaskan bahawa banyak syarikat kecil dan sederhana kini sedang menghadapi tekanan besar untuk terus bertahan.
Antara cabaran utama yang dihadapi termasuk:
- Permintaan pengguna tempatan semakin perlahan
- Kos operasi semakin meningkat
- Gangguan rantaian bekalan (supply chain)
- Kos pembiayaan dan pinjaman meningkat
- Persaingan sengit daripada produk import murah dan platform luar negara
Menurut beliau, ramai PKS kini sedang bergelut untuk bersaing dari segi harga, terutama dengan lambakan produk import murah dan platform asing.
Pada masa sama, mereka turut berdepan kenaikan gaji, sewa, utiliti, logistik, syarat pematuhan yang lebih tinggi serta pembayaran pelanggan yang semakin perlahan.
Dr Chin menjelaskan bahawa syarikat biasanya tidak akan mengurangkan pekerja ketika perniagaan berjalan lancar. “Mereka melakukannya apabila keuntungan semakin tertekan dan tempahan masa depan tidak menentu,” katanya.
Disebabkan tekanan kos yang semakin tinggi, ada syarikat terpaksa:
- Membekukan pengambilan pekerja baharu
- Mengurangkan kerja lebih masa (overtime)
- Menyusun semula jabatan
- Mengurangkan jumlah pekerja
Baca juga: Indonesia Sedia Hantar 15,000 Jururawat Untuk Bantu Atasi Krisis Kekurangan Staf Kesihatan Negara

Gambar hiasan: Fail NSTP.
PKS rayu bantuan kerajaan sebelum lebih ramai terjejas
Bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk, Dr Chin mencadangkan kerajaan memperkenalkan pakej khas sementara untuk membantu syarikat mengekalkan pekerja.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah:
- Sokongan subsidi gaji
- Insentif pembayaran gaji bersasar
- Pinjaman modal kerja faedah rendah
- Bantuan kos utiliti dan sewaan
Selain itu, penguatkuasaan lebih tegas terhadap amalan perdagangan tidak adil termasuk isu produk import yang diisytihar lebih rendah nilainya serta penjual asing yang tidak mematuhi peraturan.
Dalam masa sama, Dr Chin turut mengingatkan bahawa kenaikan cukai tambahan atau peningkatan gaji minimum mungkin akan memberi tekanan lebih besar kepada syarikat yang sedang bergelut.
Walaupun menyokong program reskilling dan upskilling, beliau berpandangan ia belum cukup untuk menyelesaikan masalah aliran tunai yang sedang dihadapi banyak PKS.
Beliau turut mencadangkan bantuan latihan pekerja dihubungkan dengan subsidi gaji, automasi dan peningkatan produktiviti supaya syarikat dapat mengekalkan pekerja sambil menaik taraf operasi.
Menurut Dr Chin, isu pemberhentian pekerja tidak sepatutnya dilihat sebagai masalah buruh semata-mata, tetapi isu kelangsungan perniagaan.
“Jika PKS tidak dibantu untuk kekal berdaya saing, kehilangan pekerjaan akan terus berlaku,” katanya.
Sumber: New Straits Times (1), (2)
FT Image: Gemini AI
