Perkongsian resipi ini datang daripada Syalfarina Razali di hantaran Facebook yang berkongsi rahsia kari daging sedap hasil air tangannya. Katanya, menu ini bukan sahaja kegemaran ibunya, malah hidangan wajib untuk suami tercinta iaitu Kari Daging Perap!
Menurut Syalfarina, kunci utama kelazatan kari ini terletak pada teknik perapan daging menggunakan serbuk kari selama beberapa jam. Hasilnya, rasa rempah lebih sebati dan aroma kari lebih harum menyengat!
RAHSIA KARI DAGING SEDAP, WAJIB PERAP SEBELUM MASAK!

Gambar: Syalfarina Razali
Bahan-bahan:
- 1 kg daging segar (dipotong melawan urat)
- 3 sudu besar serbuk kari daging (untuk perapan awal)
- 4 biji bawang merah sederhana (ditumbuk atau dikisar)
- 5 ulas bawang putih (ditumbuk atau dikisar)
- 1 inci halia (ditumbuk atau dikisar)
- 2 batang serai (diketuk)
- 2 tangkai daun kari
- Rempah penumis 4 sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, pelaga, cengkih)
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- 2 sudu besar tambahan serbuk kari daging
- 1–2 biji tomato (dipotong empat)
- Air masak secukupnya (paras daging)
- 1 kotak kecil santan
- 2 biji kentang (dipotong sederhana)
- 2 sudu besar kerisik
- Garam, gula dan serbuk perasa (pilihan)
Cara penyediaan:
- Perap daging: Gaulkan daging bersama 3 sudu besar serbuk kari daging dan biarkan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam supaya rempah meresap sempurna.
- Tumis bahan kisar: Panaskan minyak dan tumis bahan kisar (bawang merah, bawang putih, halia) bersama serai, daun kari dan rempah penumis 4 sekawan hingga naik bau.
- Jika suka pedas, boleh tambah sedikit serbuk cili atau cili kisar pada tahap ini.
- Masukkan serbuk kunyit dan daging yang telah diperap. Gaul rata dan biar air daging keluar.
- Tambah 2 sudu besar lagi serbuk kari daging, kemudian masukkan tomato. Biar ia hancur dan mereneh hingga keluar minyak.
- Tuangkan air masak mengikut paras daging (jangan terlalu banyak) dan biar kuah mereneh selama kira-kira 1 jam 15 minit atau hingga daging empuk.
- Masukkan santan dan kentang. Didihkan sehingga kentang lembut.
- Akhir sekali, masukkan kerisik dan perasakan dengan garam, gula serta serbuk perasa jika mahu.
- Kacau sebati dan biarkan kuah sedikit pekat sebelum ditutup api.
Siaplah Kari Daging Perap yang harum, pekat dan penuh rasa! Video cara masakan hidangan ini ada di sini!
Baca juga: Tips Elak Hirisan Epal Bertukar Lebam, Simpan Lama Bawa Ke Piknik Pun Masih Putih Segar!

Perkongsian resipi ini ternyata telah mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya, yang rata-ratanya teruja mencuba cara masakan tradisi ini.
“Orang Utara kebanyakannya buat gulai atau kari daging macam ni. Kita panggil perap tu awaih daging, awaih daging dengan rempah kari serta bahan kisar. Kalau nak letak kentang, sekali dengan kentang kita awaih sekali. Pehhhhhh… cicah dengan ketupat, roti jala, lempeng… sedap ni!
“Cara orang dulu-dulu masak kari daging mesti perap dulu.
“Saya kadang-kadang perap semalaman dengan rempah kari. Bila masak, daging cepat je empuk dan kuah jadi ekstra sedap bila perap ni.
“Betul sedap! Saya nak buat gulai ke, masak hitam ke, memang akan perap dulu sebelum masak,” antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna Facebook di hantaran tersebut.
Baca juga: Resipi Sambal Belacan Kampung Paling Sedap Di Dunia, Buat Selera Anda Tak Berhenti Makan!
Sumber: Syalfarina Razali
FT Image: Syalfarina Razali
