Pernah tak terfikir kenapa ada wanita alami senggugut teruk sebelum kahwin, tapi tiba-tiba jadi makin ringan atau terus hilang selepas ada anak? Walaupun ramai anggap ia perkara biasa, rupanya ada penjelasan perubatan yang menarik di sebalik perubahan tersebut.
Jadi, betul ke kahwin itu “ubat” kepada senggugut? Atau sebenarnya perubahan ini lebih berkait dengan hormon, struktur rahim dan perubahan tubuh selepas kehamilan?
KENAPA ADA ORANG SENGGUGUT TERUK SEBELUM KAHWIN TAPI BERKURANG SELEPAS KAHWIN & ADA ANAK

Gambar hiasan: Gemini AI
Rahim dan hormon boleh berubah selepas hamil & bersalin
Justeru itu, Pakar Kesihatan Wanita dan Kesuburan, Dr. Raihana Ismail berkongsi ilmunya di Threads. Menurutnya, perubahan tersebut memang boleh berlaku, tetapi bukan kerana status kahwin semata-mata.
Dr Raihana menjelaskan bahawa senggugut biasanya berlaku kerana rahim menghasilkan bahan dipanggil prostaglandin, iaitu bahan yang menyebabkan rahim mengecut untuk mengeluarkan darah haid.
Lagi tinggi prostaglandin, lagi kuat pengecutan berlaku dan lebih sakit seseorang itu rasa.
“That’s why ada perempuan sampai muntah, cirit, pitam pun ada. Siapa selalu mc time period pain?” ujarnya.
Namun selepas berkahwin, terutama apabila seseorang wanita pernah hamil atau melahirkan anak, tubuh boleh mengalami beberapa perubahan fisiologi.
Menurut portal Cleveland Clinic, kehamilan dan kelahiran boleh menyebabkan rahim meregang sebelum kembali mengecut, manakala serviks (pangkal rahim) juga mungkin menjadi sedikit lebih terbuka berbanding sebelumnya.
Dalam bahasa mudah, aliran darah haid mungkin menjadi lebih lancar dan pengecutan rahim tidak lagi sekuat dahulu.
“Lepas kahwin, terutamanya bila dah pernah pregnant atau melahirkan anak, struktur rahim berubah. Rahim jadi lebih ‘relaxed’, salur darah lebih matang, dan contraction tak sekuat dulu,” ujar Dr Raihana.
Sebab itu juga ramai wanita atau mak-mak selalu berkata, “Lepas beranak, senggugut hilang.”
Gaya hidup, hormon & hubungan suami isteri juga boleh beri kesan
Selain perubahan fizikal pada tubuh, hormon juga memainkan peranan besar.
Menurut Dr Raihana, sebelum berkahwin ada wanita mengalami kitaran haid tidak teratur, stres tinggi, kurang tidur atau hormon estrogen dan progesteron yang tidak seimbang.
Keadaan ini boleh menyebabkan prostaglandin meningkat dan akhirnya membuatkan senggugut jadi lebih sakit.
Namun selepas berkahwin, ada individu mula menjalani rutin hidup lebih stabil seperti makan lebih teratur, tidur lebih baik dan stres berkurang. Sekali gus, membantu keseimbangan hormon.

Gambar hiasan: Gemini AI
Pemakanan juga tidak boleh dipandang ringan.
Diet tinggi gula, makanan diproses serta kekurangan nutrisi seperti magnesium, zat besi dan omega-3 boleh menyebabkan period pain jadi lebih teruk.
Selain itu, Dr Raihana turut menyentuh mengenai hubungan kelamin yang boleh membantu pelepasan hormon endorfin iaitu natural painkiller badan.
“Hubungan kelamin boleh bantu release endorphins, iaitu natural painkiller badan. Dia juga bantu blood flow di kawasan pelvis,” jelas beliau.
Disebabkan itu, ada wanita mendapati senggugut mereka menjadi kurang teruk dari semasa ke semasa.
Baca juga: Mama Papa Jangan Sembur Sembarangan, Ini Cara Betul Guna Nasal Spray Pada Bayi & Anak Kecil
Jangan normalisasikan sakit melampau
Walaupun perubahan senggugut selepas kahwin atau bersalin boleh berlaku, doktor mengingatkan bahawa sakit haid yang terlalu melampau tidak sepatutnya dianggap normal.
Jika anda mengalami kesakitan sampai mengganggu kerja, terlalu sakit secara tiba-tiba atau perlu bergantung kepada ubat tahan sakit setiap bulan, sebaiknya lakukan pemeriksaan lanjut.
Antara kondisi yang perlu dipastikan bukan menjadi punca termasuk:
- Endometriosis
- Fibroid pada rahim
- Cyst ovari
- Masalah hormon atau tiroid
Dr Raihana turut mengingatkan, “Kalau senggugut teruk sangat, sampai ganggu kerja, atau sakit tiba-tiba jadi teruk, kita kena rule out benda macam endometriosis, fibroid, atau cyst. JANGAN normalize pain yang extreme.”
Kesimpulannya, kahwin bukanlah “ubat” untuk senggugut. Tetapi perubahan hormon, kehamilan, proses bersalin serta gaya hidup selepas berkahwin boleh menyebabkan simptom sesetengah wanita menjadi lebih ringan, walaupun ia tidak berlaku pada semua orang.
Sumber: Threads @drraihanaismail / Cleveland Clinic
FT Image: Gemini AI
