Rata-rata punca sakit lutut yang dialami oleh ramai orang adalah disebabkan mempunyai berat badan berlebihan. Tekanan pada sendi lutut akibat berat badan yang tidak terkawal boleh menyebabkan ketidakselesaan, keradangan, dan masalah kesihatan jangka panjang.
Hal ini sama seperti yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebook rasminya. Di mana, hantaran tersebut memaparkan satu gambaran tentang rangka badan manusia yang obesiti.
Baca juga: Minum Air Kosong Sahaja Waktu Sahur Punca Badan Lesu, Doktor Kongsi ‘Rahsia’ Untuk Tangani
PUNCA SAKIT LUTUT SEBAB BERAT BADAN BERLEBIHAN

Gambar ini bukan sekadar imbasan biasa, tetapi gambaran bagaimana rangka manusia perlu bekerja keras untuk menyokong berat badan yang berlebihan. Tulang yang kecil dan sendi yang rapuh terpaksa menanggung beban berlipat kali ganda menyebabkan:
1. Tekanan berlebihan pada sendi – Risiko osteoarthritis meningkat
Berat badan yang berlebihan memberikan tekanan tambahan kepada sendi terutamanya lutut yang menampung beban badan ketika berdiri, berjalan, atau berlari.
Apabila sendi lutut menerima tekanan berlebihan dalam jangka masa panjang, tulang rawan yang berfungsi sebagai pelindung akan mula haus dan menipis.
2. Tulang belakang membongkok – Sakit belakang kronik jadi masalah utama
Berat badan yang berlebihan bukan sahaja memberi kesan kepada lutut tetapi juga kepada postur badan secara keseluruhan. Apabila badan membawa beban berlebihan, tulang belakang terpaksa bekerja lebih keras untuk menampung berat tersebut, menyebabkan postur menjadi tidak seimbang dan membongkok.
Ini boleh memberi tekanan berlebihan kepada otot serta saraf di bahagian belakang, sekali gus meningkatkan risiko sakit belakang kronik.
3. Perubahan postur & pergerakan terhad – Aktiviti harian semakin sukar
Berat badan berlebihan boleh mengubah cara seseorang berdiri, berjalan, dan bergerak, menyebabkan postur menjadi tidak stabil. Apabila postur berubah, pergerakan harian seperti menaiki tangga, duduk dan bangun, atau berjalan dalam jarak jauh menjadi lebih mencabar.
Berat badan bukan sekadar angka di atas penimbang, tetapi beban yang tubuh kita terpaksa galas setiap saat.
Kalau lutut boleh bersuara, mungkin ia akan merayu “kurangkanlah beban ini… Sebelum aku tak mampu lagi menyokongmu.”
Jangan tunggu sampai terlambat. Kurangkan berat, lebihkan pergerakan, beri peluang untuk lutut kita terus berkhidmat
Baca juga: Teringin Nak Tukar Size Baju Masa Raya Nanti? Ikut 5 Tips Mudah Ini! Dari XL Boleh Jadi S
Sumber: Facebook Public Health Malaysia
