Seorang jururawat berusia 41 tahun berdepan detik mengejutkan apabila pembedahan buang cyst seberat kira-kira 10 kilogram bertukar menjadi prosedur kompleks.
Menurut kenyataan hospital, pemeriksaan lanjut termasuk pengimejan resonans magnetik (MRI), ujian darah dan imbasan ultrabunyi mendapati Lopez mengalami kehamilan ektopik, iaitu keadaan di mana embrio melekat dan membesar di luar rahim.
Baca juga: 10 Trik Boleh Guna Bila Anak Sakit, Lebih Cepat Sembuh Bila Guna Bahan Semula Jadi Ini…
PROSEDUR BUANG CYST JADI LAIN, IBU BARU TAHU SEDANG HAMIL LUAR RAHIM

Dalam kes yang amat jarang berlaku ini, janin membesar di dalam rongga abdomen, berhampiran hati, dengan kedudukan punggungnya berehat pada rahim, manakala sista ovari besar menolak organ-organ lain ke hadapan.
Pengarah perubatan bahagian kelahiran Cedars-Sinai, Dr. John Ozimek, berkata keadaan tersebut hampir tidak pernah berlaku. Menurutnya, kehamilan yang berkembang sejauh ini di luar rahim amat jarang ditemui dan biasanya berisiko tinggi terhadap ibu serta janin.
“Rahim pesakit kosong, manakala sista ovari sangat besar dan mengambil ruang yang luas. Dalam ruang yang sempit itu, kami menemui seorang bayi lelaki yang hampir cukup bulan. Keadaan seperti ini hampir tidak pernah didokumentasikan,” katanya.
Kehamilan ektopik lazimnya berbahaya kerana plasenta tidak dapat berkembang dengan selamat, sekali gus meningkatkan risiko pendarahan serius kepada ibu dan kematian janin.
Pakar onkologi ginekologi, Dr. Michael Manuel, yang membantu mengeluarkan kista berkenaan, menyatakan sepanjang kerjayanya, dia tidak pernah menyaksikan kes kehamilan ektopik yang berkembang sehingga hampir cukup bulan.
“Kami perlu merancang cara terbaik untuk melahirkan bayi bersama plasenta dan saluran darah yang melekat di dalam abdomen, di samping mengeluarkan ketumbuhan ovari yang sangat besar serta memastikan keselamatan ibu dan anak,” jelasnya.

Kredit: Los Angeles Times
Dr. Manuel berjaya mengalihkan sista ovari tersebut bagi membolehkan pasukan obstetrik yang diketuai Dr. Ozimek melakukan proses kelahiran.
Selepas bayi dilahirkan, Lopez mengalami pendarahan serius, namun pasukan bius yang diketuai Dr. Michael Sanchez bertindak pantas menggunakan peralatan khas bagi mempercepatkan pemindahan darah, sekali gus menyelamatkan nyawanya.
Bayi lelaki itu, yang dinamakan Ryu, dilahirkan dalam keadaan sihat dengan berat kira-kira 3.6 kilogram serta rambut yang lebat. Pakar neonatologi Cedars-Sinai Guerin Children’s, Dr. Sara Dayanim, berkata pasukan perubatan pada awalnya bimbang tentang perkembangan paru-paru bayi tersebut.
“Kami bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang komplikasi pernafasan. Namun, bayi ini pulih dengan cepat daripada kesan anestesia, menunjukkan tindak balas yang baik dan berjaya mencapai semua penanda aras penting sepanjang dua minggu rawatan,” katanya.
Lopez mengakui tidak menyangka dirinya hamil kerana mempunyai sejarah kitaran haid yang tidak teratur serta ketidakselesaan abdomen akibat sista ovari yang telah membesar selama bertahun-tahun.
Menurutnya, selepas 17 tahun berdoa dan berusaha untuk mendapatkan anak kedua, berita tersebut merupakan satu keajaiban.
Baca juga: Makan Banyak Keropok Lekor Tepi Jalan Boleh Buat Anak Kurang Zat, Doktor Ini Jelaskan Risikonya
Sumber: Los Angeles Times
