Euforia Bola 2026
Didik

Politeknik Merlimau Melaka Di Tangga Ke-199 Dalam Ranking Dunia Universiti UI Greenmetric 2025

POLITEKNIK MERLIMAU MELAKA

Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mencipta sejarah apabila berjaya menduduki tangga ke-199 daripada 1,745 universiti di seluruh dunia dalam penarafan UI GreenMetric 2025.

Pengarah PMM, Norizam Sekak, menjelaskan bahawa UI GreenMetric adalah sistem global yang menilai kelestarian institusi pengajian tinggi. Penilaian merangkumi pelbagai aspek termasuk infrastruktur dan persekitaran kampus, tenaga dan perubahan iklim, pengurusan air dan sisa, pengangkutan, serta pendidikan dan penyelidikan.

Baca juga: Bermula Tahun Hadapan, Pelajar Tidak Diwajibkan Memakai Tali Leher – KPM

POLITEKNIK MERLIMAU MELAKA DI TANGGA KE-199 RANKING DUNIA

POLITEKNIK MERLIMAU MELAKA

Kredit: KPT

“Pencapaian ini menegaskan PMM sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) paling lestari di Malaysia. Ia juga membuktikan bahawa politeknik kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam agenda pembangunan mampan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa peningkatan prestasi PMM sejak pertama kali menyertai penarafan ini pada 2018 banyak dipengaruhi oleh inisiatif SmartGreen PMM, yang berpandukan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Antara faktor kejayaan utama adalah pelaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga kampus, program penjimatan tenaga sehingga 20 peratus, serta projek Energy Performance Contract (EPC) yang menggalakkan penggunaan tenaga lebih cekap dan berkesan.

Selain itu, PMM juga melaksanakan pelbagai projek hijau yang memberi impak tinggi, termasuk sistem tadahan air hujan, pembangunan tasik kampus sebagai ekosistem biodiversiti, pembinaan rumah cekap tenaga, serta pengurusan sisa secara bersepadu.

Pendekatan pengurusan berasaskan data dan laporan sistematik turut meningkatkan kredibiliti institusi di mata penarafan antarabangsa.

POLITEKNIK MERLIMAU MELAKA

“Pencapaian ini memberi manfaat terus kepada pelajar melalui pengalaman pembelajaran berasaskan amalan kelestarian sebenar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

“Bagi kakitangan pula, kampus hijau menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif dan menyokong pembangunan profesional. Manakala masyarakat setempat boleh merujuk PMM sebagai pusat amalan lestari melalui program komuniti dan kerjasama strategik,” katanya.

Norizam berkata usaha berterusan ini sejajar dengan aspirasi negara dan SDG, serta pihaknya bercadang untuk terus memperkukuh agenda kelestarian melalui pelaksanaan Blueprint SmartGreen PolyCC 2025–2030, dengan sasaran menempatkan PMM dalam kelompok Top 100 universiti dunia dalam penarafan UI GreenMetric akan datang.

Kini, PMM berada di kedudukan ke-11 daripada 91 institusi pengajian tinggi di Malaysia dan mengekalkan kedudukan nombor satu di kalangan 51 politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC).

Baca juga: MRSM Kembalikan Exit Policy Tahun 2026, Pelajar Perlu Kekal Cemerlang Dalam Akademik

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×